Oleh Mohd Fadly Samsudin
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mayat seorang lelaki warga Arab Saudi dipercayai dibunuh, ditemui dalam sebuah kereta di Jalan Dang Wangi jam 7.36 malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa ditemui terbaring dalam keadaan berdarah di tempat duduk belakang kereta jenis Toyota Camry.

Difahamkan tubuh mangsa juga ada kesan lebam dipercayai akibat dipukul.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, berdasarkan maklumat saksi, kereta Toyota Camry berwarna putih itu diletak di tepi jalan depan sebuah kedai motosikal sejak jam 8.30 pagi.

"Maklumat awal yang diterima, mangsa bersama dua rakannya ke sebuah pusat hiburan berhampiran tempat kejadian.

"Seorang daripada mereka kemudiannya membuat kecoh menyebabkan pengawal keselamatan menghalau mereka keluar,"katanya.

Beliau berkata, ketika berada di luar pusat hiburan berkenaan, mangsa disyaki dipukul satu kumpulan.

“Angota forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 10:58 PM