Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memperkasakan Unit Risikan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menangani isu jenayah sempadan, keganasan, komersial serta gangterisme.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau sudah berbincang dengan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim bagi mewujudkan satu unit khas risikan bagi mengawal keselamatan negara di kawasan sempadan.

"Kelemahan unit risikan boleh mendedahkan keselamatan negara kepada tindakan sabotaj pihak tertentu.

"Era 60-an dan 70-an menunjukkan Malaysia antara negara yang memiliki unit risikan terbaik bukan saja di rantau ini malah dunia," katanya menjawab celahan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) yang mahu unit risikan menjadi unit terbaik seperti sebelum ini.

Menurut Wan Junaidi, apabila ancaman komunis tamat pada 1989, kerajaan memotong banyak kemudahan untuk Cawangan Khas kerana tiada keperluan untuk memiliki unit risikan terbaik lagi.

Wan Junaidi berkata, cabaran ketika ini bukan saja daripada sudut sosial malah komersial dan unit risikan perlu terus disokong oleh kerajaan malah diperkasakan.

Pada masa sama, Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2015 diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.

Rang undang-undang ini bertujuan membolehkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilantik sebagai pegawai pelindung kepada mangsa pemerdagangan selain pengenalan rumah atau tempat perlindungan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 6:42 PM