NADIA (kiri) dan kakaknya saling menyokong untuk memastikan kejayaan mereka.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Ketika ramai bercita-cita menggapai kejayaan melalui kerjaya dalam dunia korporat, ada yang mencabar diri meng­ambil jalan yang kurang diterokai iaitu dengan memilih kerjaya alternatif seperti perancang hayat de­ngan syarikat insurans.

Dua beradik, Tina Zainuddin, 37, dan Nadia Zainuddin, 30, membuktikan kerjaya itu bukan saja memberi mereka pendapatan yang lumayan, tetapi juga fleksibiliti dan kawalan ke atas masa serta kehidupan mereka.

Menyingkap pengalaman mereka, Nadia yang juga ibu tunggal berkata menjadi Perancang Hayat AIA Berhad menawarkan banyak kelebihan kerana ia memberinya fleksibiliti meraih pendapatan lumayan dan masih mempunyai masa untuk anak dan keluarganya.

Menurutnya, ia bukan sekadar pilihan kerjaya atau keluarga, dia kini boleh memiliki kedua-duanya, malah merasakan ibu tunggal juga mampu menyara diri sendiri, tetapi perlu melihat peluang yang ada dan bertindak.

“Saya menghadiri ceramah yang dianjurkan oleh sebuah agensi dari AIA PUBLIC Takaful atas desakan kakak. Baru-baru ini saya melalui perceraian dan kakak tahu saya memerlukan sumber pendapatan supaya dapat membesarkan anak lelaki saya.

“Saya tidak begitu yakin dengan cadangannya, tetapi saya pergi dengan fikiran terbuka. Menghadiri penerangan itu telah mengubah hidup saya. Pertama, saya mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai produk Takaful dan mengapa ia begitu penting bagi memberi perlindungan secukupnya kepada keluarga. Jika sesuatu terjadi, saya tahu bahawa saya akan meninggalkan sesuatu untuk anak yang membolehkan beliau meneruskan hidupnya,” katanya.

Lebih membanggakan apabila selepas lima bulan menjadi Perancang Hayat, Nadia berjaya mendapat pengiktirafan sebagai seorang daripada tiga ahli baru teratas Perancang Hayat.

Justeru katanya, pengiktirafan daripada pihak pengurusan AIA itu memberikannya keyakinan untuk meneruskan kerjayanya.

Bagi kakaknya, Tina pula yang kini bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas memutuskan bahawa dia perlu melakukan sesuatu yang diidamkan iaitu bertemu dengan orang ramai dan bersosial.

Peluang itu muncul apabila dia dan adiknya, Nadia menghadiri ceramah yang dianjurkan oleh agensi dari AIA PUBLIC Takaful. Mereka melihat potensi dalam kerjaya sebagai Perancang Hayat AIA.

Tina yang memegang Ijazah Sarjana Muda Per­akaunan merasai pekerjaan itu sesuai de­ngannya kerana ia dapat menguji keupayaan jualan beliau selain dapat membantu orang ramai.

“Pada mulanya ia agak mencabar memandangkan saya terpaksa mendekati orang tidak dikenali dan mengalami penolakan yang tidak terkira banyaknya.

“Namun, saya tidak berputus asa dan menghadiri latihan untuk memperbaiki diri sehingga satu hari saya berjaya memperoleh tujuh polisi dalam satu malam,” katanya.

Menurutnya, dia me­nguruskan masa dengan baik antara kerjaya sepenuh masanya dan bertemu pelanggan pada hujung minggu.

Ini memberikannya tenaga adrenalin yang dia rindukan serta menikmati cabaran kerja. Beliau juga percaya walaupun pada usia 37 tahun, tidak terlambat untuk berubah bagi mencapai kepuasan bekerja dengan syarat seseorang itu mempunyai semangat dan dorongan untuk mencapai kejayaan.

“Sebelum ini, ibu tiri kami menghidap kanser peringkat akhir. Kami berdua menyaksikan sendiri apa yang berlaku kepada keluarga jika tiada insurans perubatan yang sesuai.

“Kami bernasib baik kerana ayah dan ibu tiri kami mempunyai sedikit simpanan yang boleh menampung kos rawatan­nya. Bagaimanapun, ia agak meruntun hati melihat bapa memikul peranan sebagai jururawat di rumah pada bulan terakhir hayat ibu tiri.

“Mereka berdua terikat di rumah, ibu tiri kerana penyakit, ayah kami pula kerana dia tidak mahu meninggalkannya. Jika mempunyai insurans, kami boleh mengupah jururawat untuk berada di rumah dan menuntut perbelanjaan daripada syarikat insurans.

“Pengalaman itu menyedarkan kami dan dapat memberitahu rakan serta keluarga mengapa mereka memerlukan insurans perubatan,” katanya.

Tina berkata, insurans perubatan tidak boleh menyembuhkan penyakit atau mencegahnya, tetapi ia boleh memastikan seluruh keluarga bebas daripada kerisauan dan memberi tumpuan kepada kesejahteraan pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 3:08 PM