Motosikal ditunggang Daud dan Faridah terbabas dan terlanggar tiang elektrik menyebabkan mereka maut. FOTO ihsan PDRM
Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Jitra: Suami isteri maut akibat parah di badan dan kepala selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Changlun-Kangar, di sini, pagi tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku 7.15 pagi menyebabkan mangsa, Daud Hasan, 78, dan isteri Faridah Kasim, 64, meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika Daud dalam perjalanan menghantar isterinya ke tempat kerja di sebuah kantin sekolah berhampiran rumah mereka di Kampung Baru Sungai Laka, Changlun.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abdul Rahim Abdullah berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mereka disyaki bergesel dengan sebuah kenderaan berat lalu terbabas sebelum terlanggar tiang elektrik.

"Mayat suami isteri itu dihantar ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya, orang ramai yang melihat kejadian diminta menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di talian 04-9172222 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 2:40 PM