MUHAMMAD KAMIL dengan corak batik rekaannya yang dipamerkan kepada panel penilai baru-baru ini.
Teks dan gambar Rodly Fadly

Tidak ramai menyedari kewujudan Institut Kraf Negara (IKN) sebagai institusi pendidikan bagi melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi dalam bidang kraftangan. Walaupun ditubuhkan sejak 2001, nama IKN tidak segah pusat pengajian tinggi (IPT) lain.

Hakikat ini diakui Pengarahnya, Zainal Abidin Che Pa, namun beliau menganggap status ‘kurang popular’ itu bukan masalah besar kerana hakikatnya IKN melahirkan ramai graduan berkemahiran tinggi serta berilmu.

“Status tidak penting kerana yang penting matlamat kami melahirkan remaja berkemahiran, berilmu dan berwawasan. mampu dilaksakan sejak IKN diwujudkan 14 tahun lalu.

“Kami melahirkan seramai 2091 graduan dan ada yang menjadi pengusaha batik, seramik, ukiran dan tenunan.

“Masyarakat perlu membuka mata atas kejayaan IKN dan mengikis persepsi bahawa institut itu hanya sesuai disertai remaja yang gagal mendapatkan tempat ke IPT,” katanya

Beliau berkata, IKN tetap mengutamakan kualiti dalam pemilihan pelajar, contohnya jika mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma, mereka mesti mendapat lima kepujian termasuk Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi peringkat sijil, pemohon perlu memiliki tiga kepujian, termasuk seni, dalam peperiksaan SPM.

“Tahap pengajian di IKN setaraf dengan IPT, cuma di sini, 70 peratus pembelajaran membabitkan kemahiran dan bakinya akademik.

“Selain pensyarah daripada universiti tempatan, kami menjalin kerjasama dua hala dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi membolehkan mereka menyalur kepakaran masing-masing.

“Kami turut menghantar pelajar cemerlang berkursus ke Jepun dan ramai yang menyambung ke peringkat sarjana di IPT tempatan,” katanya. Program seperti ini diteruskan pada masa-masa akan datang mengikut kesesuaian.

Katanya, ibu bapa usah bimbang masa depan pelajar yang keluar dari IKN kerana kemahiran yang diperoleh diakui banyak pihak.

“Malah, kemahiran yang dimiliki membolehkan mereka bekerja sendiri atau menjadi usahawan kerana mereka diberi ilmu mengenai dunia perniagaan.

“Kami tidak membiarkan graduan menganggur sebaliknya membantu merealisasikan impian mereka menjadi usahawan melalui skim ikubator yang membolehkan mereka memulakan perniagaan.

“Melalui kaedah itu, IKN menyediakan peralatan dan mesin serta bahan untuk mereka memulakan perniagaan selain membantu soal promosi dan pemasaran,” katanya.

Bagi pelajar Diploma Seni Kraf Batik, Muhammad Kamil Suffian Mohamed Nata, 23, dia sanggup menolak tawaran ke IPT lain semata-mata untuk menimba ilmu kemahiran di IKN.

“Dengan ilmu yang saya ada, saya yakin dapat melonjakkan bisnes batik ke tahap lebih tinggi.

“Selepas IKN, saya berharap dapat menyambung pengajian ke USM atau UITM,” katanya.

Bagi Sabieta Najieya Romli, 21, juga lulusan diploma Seni Kraf Batik, walaupun cita-citanya menjadi guru pendidikan seni, ilmu di IKN dianggap persiapannya mencapai cita-cita itu.

“Apa yang saya belajar di IKN dapat dipraktikkan bila menjadi guru, tapi pada masa sama, saya akan usahakan bisnes batik secara sambilan,” katanya.

Muhammad Shahid Ibrahim, 25, pula sudah memiliki diploma kejuruteraan sivil, tetapi melanjutkan pelajaran di IKN untuk menambah ilmu mengenai ukiran kayu.

“Walaupun memiliki diploma kejuruteraan, saya tidak rasa rugi mendapatkan diploma Seni Kraf Kayu kerana kedua-dua ilmu itu boleh digabungkan bila membesarkan perniagaan ayah nanti,” katanya.

Pelajar Seni Kraf Kayu, Syahirah Johari, 20, berkata dia mahu memecah monopoli lelaki dalam bidang itu.

“Ia memang mecabar kerana kerja mengukir kayu ini memerlukan ketelitian, tapi saya yakin pemilihan saya ini berbaloi,” katanya.

IKN di Rawang, Selangor menawarkan enam bidang kursus iaitu Seni Kraf Batik, Seni Kraf Tenunan, Seni Kraf Seramik, Seni Kraf Kayu, Seni Kraf Logam dan Seni Kraf Buluh dan Rotan.

Tiada yuran dikenakan, dengan penginapan dan makanan disediakan percuma, malah pelajar diberikan wang saku RM150 untuk peringkat diploma dan RM120 untuk kursus sijil.

Pengambilan pelajar bagi sesi 2015 masih dibuka sehingga 30 Jun ini. Layari www.ikn.gov.my atau www.kraftangan.gov.my untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 12:51 PM