TENGKU Abdul Halim (depan, tujuh dari kiri) bersama sebahagian daripada wakil agensi kerajaan dan korporat yang menjadi penyokong utama Rumah SAHABAT.
Oleh Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


“Maafkan kami. Tiada apa yang dapat kami lakukan untuknya di hospital. Sebaik-baiknya bawa pesakit pulang.”

Ia ayat lazim didengar dan kebanyakannya membabitkan penyakit kronik seperti kanser, kegagalan organ dalaman, masalah jantung, jangkitan kuman dan sebagainya.

Mati itu pasti, tapi ramai daripada kita tidak sanggup atau mengelakkan diri daripada membicarakan soal kematian khususnya apabila berlaku dalam kalangan ahli keluarga yang dikatakan tidak mempunyai tempoh hayat lama.

Justeru, apabila seseorang itu menderita sakit, contohnya kanser pada tahap akhir dan tidak boleh diubati lagi, hanya kata-kata dorongan yang selalu diberikan kepada pesakit terbabit sedangkan hakikatnya pesakit itu sendiri sedar dirinya tiada harapan untuk hidup lebih lama.

Biasanya ahli keluarga hanya membawa pesakit pulang tanpa rawatan susulan di rumah lalu membiarkan saja pesakit menunggu saat kematiannya.

Ubat-ubatan sedikit sebanyak dapat membantu, tetapi sumber bantuan lain seperti psikologi memainkan peranan penting bagi pesakit.

Di sinilah perlunya rawatan atau penjagaan paliatif agar kehidupan pesakit lebih berkualiti sehingga akhir hayatnya.

Bagaimana pula mereka yang hidup dengan HIV dan AIDS? Mereka juga berhak diberi perhatian atau jagaan paliatif sama seperti mereka yang menderita penyakit kronik lain.

Justeru, rumah perlindungan dan jagaan paliatif HIV dikenali Rumah SAHABAT diwujudkan Yayasan AIDS Malaysia serta Majlis AIDS Malaysia, baru-baru ini.

Dengan sokongan Ahli Gabungan, Persatuan Perantaraan Pesakit Kelantan (SAHABAT), rumah perlindungan dan jagaan paliatif HIV ini adalah yang pertama diperkenalkan di Kelantan.

Negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia antara kawasan tertumpunya kes HIV di Malaysia justeru, Kelantan disifatkan lokasi strategik membina rumah perlindungan terbabit.

Dalam tempoh sedekad ini, setiap tahun Kelantan secara konsisten mencatatkan kadar notifikasi jangkitan HIV baru yang lebih tinggi berbanding kadar notifikasi purata negara.

Tahun lalu, angka itu mencecah 13.4 bagi setiap 100,000 penduduk berbanding purata 11.69 untuk setiap 100,000 penduduk di Malaysia.

Jelas Datuk Dr Raj Karim, Presiden Majlis AIDS Malaysia merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan AIDS Malaysia, jurang sosioekonomi ketara dan kurangnya kemudahan berasaskan komuniti menyebabkan ramai yang hidup dengan HIV khususnya di Kelantan tercicir dari segi rawatan serta penjagaan yang sepatutnya.

“Tinjauan kami mendapati sebilangan besar daripada mereka disisihkan keluarga dan masyarakat, sehingga ada yang hidup melarat.

“Sebelum ini, apabila kes dirujuk kepada pertubuhan kebajikan, mereka dihantar ke rumah perlindungan di negeri berjiran seperti Terengganu dan Pahang, malah ada kes sejauh Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan serta rehabilitasi,” katanya.

Rumah SAHABAT berkapasiti maksimum untuk menampung 15 penghuni lelaki dalam satu masa.

Selain menyediakan rawatan perubatan asas dan jagaan paliatif serta rehabilitasi, Rumah SAHABAT dibangunkan sebagai pusat sehenti komuniti yang mengintegrasikan komponen ujian HIV.

Ia juga menyasarkan latihan memperkasakan kesihatan komuniti menerusi kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Dirasmikan oleh Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim, Rumah SAHABAT dijana dengan sumbangan dan sokongan daripada pelbagai pihak merangkumi sektor kerajaan, korporat dan badan keagamaan.

Antaranya Yayasan Sime Darby, MAC Cosmetics Malaysia, Hotel Renaissance Kota Bharu, Bank CIMB Islamic, Firefly, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Yayasan Ihtimam Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

Meskipun perkhidmatan kebajikan seperti Rumah SAHABAT antara tunjang pencapaian pelaksanaan program HIV di bawah Pelan Strategik Kebangsaan, ia bukanlah tempat tinggal kekal untuk penghuninya.

“Sebaik-baik rumah perlindungan ialah rumah mereka sendiri yang dikelilingi ahli keluarga dan dipenuhi suasana penuh kasih sayang.

“Penerimaan dan keprihatinan keluarga itu amat kritikal dalam proses pemulihan kesihatan fizikal serta mental mereka yang hidup dengan HIV ini.

“Rumah SAHABAT ini sekadar rumah persinggahan sementara untuk mereka sehinggalah tahap kesihatan mereka pulih dan dapat berdikari lalu meninggalkan Rumah SAHABAT agar kembali berbakti kepada masyarakat,” ujar Presiden SAHABAT Tan Sri Mohd Zaman Khan.

Bagi Syamsul (bukan nama sebenar), diagnosis HIV yang diterima lima tahun lalu tidak menghalangnya meneruskan kehidupan seperti biasa.

Namun disebabkan situasi kewangan keluarga yang tidak mengizinkan kakaknya tiada pendapatan tetap ditambah kematian suami dan kini menanggung kos sara hidup keluarga selain menjaga ibu mereka yang uzur kerana strok - Syamsul terpaksa beralah hingga menumpang teduh di sebuah masjid di Tumpat.

Lelaki kelahiran Pasir Putih, Kelantan berusia 40 tahun itu bekas pengguna dadah dan kini menjalani kehidupan baru di Rumah SAHABAT.

“Mujur saya ditempatkan di Rumah SAHABAT. Alhamdulillah, inilah satu-satunya talian hayat saya.

“Sepanjang berada di bawah jagaan rumah ini, saya menumpukan usaha memulihkan tahap kesihatan diri di samping mencari peluang pekerjaan untuk menyara hidup.

“Saya berpengalaman sebagai buruh pembinaan dan kini perlu dilatih semula untuk membaiki kemahiran itu,” katanya.

Syamsul antara 88,093 individu yang dilaporkan hidup dengan HIV di Malaysia (sehingga Disember 2014) dan kehidupannya sinonim dengan cabaran dihadapi oleh komuniti mereka yang hidup dengan HIV di kawasan setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 12:48 PM