MANGSA cedera di perut dan kaki sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah. FOTO Khairul Hamizy Ramlee
Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Lelaki maut selepas jengkaut dipandunya terbalik dan menghempap tubuhnya sendiri dalam kejadian di Kampung Sungai Ikan, Kuala Terengganu, petang semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa Wan Mohd Hafizal Wan Kamaruddin, 24, dikatakan sedang memandu jengkaut di lereng bukit sementara ibu dan bapanya membersihkan ladang getah tidak jauh dari situ.

Malangnya, jengkaut yang dipandunya hilang keseimbangan dan terbalik sebelum menghempap badan Wan Mohd Hafizal.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami parah di bahagian perut dan kaki sebelum meninggal dunia kira-kira 4.30 petang di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Nik Md Zain Nik Omar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 6:43 PM