AKSI Amirul mempertahankan tali pinggang Tengku Shariffuddin.
SITI Nurhaliza juga menyaksikan kejohanan itu.
ELLA Tang menjadi lawan Anie Wong.
Oleh Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Figura peninju Muay Thai sering dikenali dengan imej ‘keras’ serta garang dalam gelanggang. Malah, gerak gaya berentap cukup kemas serta padu menghujani setiap tendangan mahupun tumbukan ‘berlisu’ membuat setiap mereka yang menonton Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Kuda Merah di Stadium Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur berasa gerun.

Namun, buat peninju mewakili Kelab Kuda Merah Shah Alam (KKMSAS), Amirul Ariffin, sebalik permainan hebat, sifat sukan itu berlainan. Mengakui gelanggang kali ini lebih mencabar yakni perlu mempertahankan Tali Ping­gang Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah, dia tidak lupa menghormati pesaingnya, Kiko dari Thailand.

“Sebalik amanah saya perlu mengekalkan tali pinggang sebelum ini berada terus dalam tangan kami, saya perlu mematahkan setiap ‘sparring’ lawan dengan tertib selaku pemain.

“Teknik diajar jurulatih saya Pak Cu Kuda Merah serta Sarjan Rosli Razak mendidik saya dalam memperkemaskan serangan perlu saya laksanakan dengan baik. Tiada pukul atau tendangan curi sebaliknya semua serangan saya sentiasa berdepan dengan lawan.

“Secara keseluruhan perlawanan itu bukan tendangan mahupun pukulan bermaksud ‘tunjuk hebat’ tetapi ia mengukur tahap kematangan berdepan lawan dalam gelanggang,” katanya.

Menurutnya sukan ini membuat dirinya jauh dari tabiat ‘menongkat ke langit’ setiap kali dirinya semakin hebat di gelanggang.

“Meskipun ada beranggapan dalam sukan ini siapa memegang gelaran tali pinggang itu wajar digeruni, bagi saya penghargaan itu untuk guru saya dan lawan saya hebat.

“Mereka ini membentuk saya sebagai ‘contender’ tegar. Selain itu saya cukup menghargai penaja saya GC Max kerap membantu dalam setiap keperluan baik kewangan mahupun sokongan moral setiap kali perlawanan,” katanya.

Tidak kurang hebat, peninju wanita tampak garang ketika beraksi pada kejohanan sama. Wakil Singapura, Angie Wong, 29, sentiasa memberi tumbukan padu sehingga berupaya mengendong tali pinggang kejohanan, Tali Pinggang Datuk Siti Nurhaliza (DCT) setelah mengalahkan peserta Malaysia turut mewakili TNT Gym, Ella Tang.

Katanya, dia mengagumi lawannya jauh lebih berpengalaman dan itu membuatkan dia mendorong untuk lebih berusaha untuk membuat asakan lebih hebat memastikan dia lawan setara.

“Ella Tang lawan hebat bagi saya kerana dia cukup dikenali dengan kelincahan dalam gelanggang serta mempunyai tumbukan pantas dan tepat. Dia membawa saya ke satu tahap perlawanan cukup baik mengikut rentak perlawanan pantas. Ini pengalaman bagus buat saya selaku peninju baru berjinak dalam sukan lasak ini.

“Daripada sukan saya rasa cukup baik dalam mengekalkan cara hidup cergas, ia turut membawa saya mengenali nama besar, namun mempunyai sifat rendah diri menerusi sukan ini.

“Relevannya meskipun sukan ini kelihatan agresif sudut lain iaitu pembawaan diri individu di dalamnya cukup berhemah terhadap orang lain membuatkan saya jatuh cinta terhadapnya,” katanya berharap lebih ramai penyertaan kalangan peserta wanita.

Turut melahirkan penghargaan terhadap penganjur iaitu Kuda Merah serta DBKL sudi menjemput dirinya memeriahkan perlawanan berkenaan.

“Terima kasih atas pengalaman mengujakan oleh pihak penganjur. Saya terharu dengan sokongan pengunjungnya turut menunjukkan semangat terhadap sukan ini. Baik saya mahupun Ella melontarkan tumbukan atau membuat serangan, sorakan penonton tidak pernah berkurang. Tidak boleh lupakan ialah apabila saya turut menjadi tumpuan dalam acara berkenaan apabila penyanyi popular, Siti Nurhaliza menyarung tali pinggang kemenangan kepada saya,” katanya.

Bagi wakil Red Army, Mohd Azmir Mohamed Saarani, pengalaman bertembung dengan peserta Perancis cukup menguji kemampuannya. Meskipun mempunyai susuk lebih kecil berbanding peninju berkenaan, baginya itu tidak pernah membuatnya ragu terhadap kemampuannya.

“Dalam gelanggang tiada istilah siapa yang kuat atau lemah selain fokus terhadap ruang untuk mencipta peluang dalam mengumpul mata.

“Diri perlu yakin dan tenang memastikan fikiran tajam mengatur serangan. Ingat pesanan guru selain amanah diberikan pasukan membantu menaikkan nama mereka bersama kemenangan saya.

“Cabaran cukup kritikal ialah pusingan kedua kerana baik saya mahupun lawan, kami mula membuat serangan ketika pusingan terbabit berbanding awal perlawanan lebih kepada analisis.

“Saya mula mengasak pantas dan mempelbagaikan teknik serangan agar mempunyai kelebihan dalam setiap pusingan.Itu menariknya dalam perlawanan Muay Thai ini,” katanya.

Buat Setiausaha KKMSAS, Mohamed Shahrin Abdol Karim berpendapat penganjuran kejohanan berkenaan bukan saja membantu perkembangan atlet, malah menyumbang terhadap kepesatan kelab.

“Setiap kali selepas kejohanan, kami melihat perkembangan kelab memberangsangkan dengan pertambahan keahlian. Ramai sudah sedar kehadiran kami dalam arena Muay Thai dengan kualiti atlit kami tampilkan setanding peninju antarabangsa.

“Kami berharap peminat sukan ini terus memberi sokongan selain golongan muda meminati menceburi sukan ini akan turun padang menyertai kami dalam terus melahirkan pelapis mampu diasas untuk mewakili lebih banyak perlawanan akan datang,” katanya.

Jemputan khas, Tengku Hafiz Tengku Adnan, berkata pengalaman menyaksikan perlawanan Muay Thai ini cukup mengujakan. Malah dia melihat sukan itu penuh intergriti selain kriteria baik sesuai disertai golongan muda.

“Sukan ini bukan untuk bergaduh atau atas tujuan tunjuk hebat. Ia mengenai disiplin dan berentap dalam keadaan terkawal. Perlu ada juri, penjaga gelanggang dan susun atur perlawanan bertertib. Jadi ia sesuatu baik untuk disertai golongan muda dalam menerap nilai-nilai murni sepanjang perlawanan.

“Semuanya diselesaikan dalam gelanggang. Malah, peninju Muay Thai cukup menghormati guru. Tertib seperti rutin pembukaan gelanggang tertib sebagai tanda menghormati guru mereka menunjukkan nilai murni terbabit.

“Saya rasa itulah antara nilai perlu terus disemai kalangan orang muda iaitu sikap menghormati orang lain. Jadi melihat semangat juang kental membuatkan saya turut bersemangat untuk perkembangkan sukan ini di sekitar wilayah.

“Perancangan saya mewujudkan pusat atau gimnasium Muay Thai setiap wilayah seperti Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan dalam menggalakkan perkembangan. Jangka masa panjang ini membantu kualiti peninju wujud Malaysia dilihat bertaraf antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengasas GC Max Nurul Husna Hanafi, menyatakan komitmen pihaknya untuk terus menaja atlet. Katanya, membekalkan minuman khasiat antara komitmen pihaknya terhadap atlet memastikan kelangsungan stamina dan kecergasan mereka.

“Pihak GC Max setakat ini memberi komitmen penajaan baik segi kewangan serta keperluan membabitkan makanan tambahan dalam meningkat tahap kesihatan mereka pada kadar terbaik. Ini penting selaku kami pembuat produk kesihatan melihat potensi secara berkesan selain melihat perkembangan produk seiring dengan atlit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:04 AM