Selepas Lee Jun Ki mengalami kecederaan di hidung ketika menjalani penggambaran The Scholar Who Walks The Night, aktres Lee Yoo Bi pula ditimpa kecederaan di set sama.

Wakil agensi Yoo Bi berkata, aktres itu mengalami kecederaan ketika menjalani penggambaran selepas terjatuh dengan Jun Ki pada 10 Jun lalu.

“Pada masa ini, Lee Yoo Bi tidak mampu berjalan kerana pinggangnya sakit. Disebabkan itu, dia terpaksa dimasukkan ke hospital.

“Doktor menasihatkannya berehat di hospital selama satu atau dua minggu. Namun, kerana jadual penggambaran padat, dia ambil keputusan untuk berehat selama dua atau tiga hari saja sambi menjalani rawatan,” kata wakil agensi.

Yoo Bi dilaporkan menderita radang pada satu daripada disk tulang belakang dan dinasihatkan untuk berada di bawah pemerhatian pakar kesihatan.

Kenyataan rasmi daripada MBC mengatakan, kedua-dua mereka tidak dapat menjalani penggambaran kerana kecederaan dialami. Namun, ia tidak membawa masalah kerana banyak babak sudah dirakam sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:03 AM