Oleh Dang Setia

Abang saya suka meminta duit dengan ibu. Walaupun sudah ada dua anak, dia masih meminta duit daripada ibu saya. Ibu saya pun menyara hidup dengan pencen dia serta bapa saya. Saya sebagai anak bongsu, berasa terganggu dengan sikapnya itu.

Saya masih belajar dan tidak lama lagi mendaftar di universiti. Saya sendiri menyimpan wang untuk tampung belajar. Abang pula tidak sudah-sudah menyusahkan orang tua. Sewaktu abang berkahwin, ibu bapa yang menaja duit kenduri serta hantaran. Pada saya, itu tidak wajar. Sikapnya suka lepas tangan menyebabkan saya makin geram.

Meskipun mempunyai kemampuan untuk bayar balik, dia akan terus melupakan duit dipinjam daripada ibu. Bagaimana caranya saya dapat nasihatkan ibu agar tidak berterusan melayan sikap abang gemar meminta duit?

NAUFAR, Larkin, Johor

Pernahkah saudari mendengar pepatah; ‘Kasih ibu sepanjang jalan, kasih anak sepenggalah’? Maksudnya kasih ibu kepada sang anak tidak berbatas, laksana jalan yang tak berhujung seperti situasi ibu saudari.

Sebaliknya, kasih anak kepada sang ibu berbatas, sebagaimana penggalah seperti lagak si abang tidak pernah meletakkan ibu saudari sebagai keutamaan.

Andainya si abang anak yang prihatin, tentu saja dia memahami peranannya selaku anak perlu membahagiakan ibu. Bukannya terus meminta serta membebankan ibu dengan masalah kewangannya.

Sewajarnya, saudari perlu menasihati ibu untuk mendidik abang supaya menangani masalah kewangannya. Terus akur pada permintaan abang dengan memberinya wang tidak akan menjadikan kehidupan abang lebih baik, sebaliknya sekadar mengajar dia bersikap boros serta tidak bertanggungjawab.

Saudari perlu ingatkan ibu untuk menasihati abang lebih bertanggungjawab terutama tatkala ini sudah mempunyai keluarga. Luahkan kebimbangan, jika sikap abang tidak dibendung, kelak dia akan menyusahkan adik-beradiknya pula yang mungkin ketika itu sudah mempunyai komitmen sendiri.

Jangan luahkan dalam nada kemarahan, sebaliknya guna nada terkilan agar tindakan saudari itu tidak melukakan hati ibu sudah tua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 1:04 AM