FOTO Aslina Abu Bakar
Oleh Aslina Abu Bakar

Kuala Berang: Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta Perodua Myvi dipandunya hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan sebelum terbakar dalam kejadian di Kilometer 405.3 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) dekat Ajil, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 1.30 petang itu, lelaki terbabit sempat menyelamatkan diri dan keluar daripada keretanya sebelum kenderaannya itu dirempuh kereta Honda Jazz dipandu seorang wanita dari arah sama.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dipandu mangsa dari arah Ajil ke Telemong hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan ketika tiba di tempat kejadian.

"Sebaik mangsa keluar, keretanya dirempuh sebuah Honda Jazz menyebabkan kenderaannya terbakar dan dipadamkan selepas ketibaan anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Berang.

"Difahamkan, kedua-dua pemilik kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak berada di lokasi ketika ketibaan pasukan penyelamat.

"Ketika ini, identiti pemandu Perodua Myvi dan Honda Jazz belum diperoleh," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Hussin Deraman yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 7:07 PM