Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Sofyan Rizal Ishak
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bakal memperkenalkan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP), September depan selari dengan pengumuman kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk mentransformasikan sektor pembinaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim berkata, program yang dirangka melalui rundingan bersama penggiat industri termasuk agensi kerajaan, syarikat swasta dan pihak akademik itu dilihat mampu melonjakkan industri pembinaan negara setanding dengan negara maju.

“Keputusan kerajaan memasukkan CITP ke dalam RMK11 sememangnya satu perkara wajar bagi memastikan industri pembinaan lebih dinamik, efektif dan mapan, sekali gus memberi impak positif kepada sektor ekonomi serta sosial negara secara keseluruhannya,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Beliau berkata, antara inisiatif CITP adalah menubuhkan Pusat Maklumat Pembinaan Negara dan pihak akademik boleh mendapatkan maklumat yang akan membantu mereka dalam melakukan perancangan dalam setiap projek binaan.

Menurutnya, CIDB akan fokus kepada peningkatan penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Pembinaan Perindustrian (IBS) dalam kalangan pemaju bertujuan memacu produktiviti sektor pembinaan.

“Kami sedang bekerjasama dengan pihak industri untuk membangunkan katalog BIM iaitu spesifikasi bahan binaan yang terdapat di pasaran bagi dimasukkan dalam perisian BIM selain menerbitkan katalog kompenen IBS bertujuan membantu perunding untuk menghasilkan rekaan bangunan yang menggunakan komponen standard IBS.

“Di bawah CITP juga, kami turut menggariskan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mengurang atau menghapuskan duti jentera pembinaan bagi menurunkan kos pembinaan yang menggunakan kaedah IBS,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) berkata, sektor pembinaan dijangka berkembang pada kadar 10.3 peratus setahun dan menyumbang RM327 bilion atau 5.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Beliau berkata, kerajaan akan memperkenalkan CITP pada 2016 hingga 2020 untuk memesatkan pembangunan industri bagi memenuhi permintaan pasaran dan dalam tempoh RMK11, usaha mentransformasi sektor pembinaan akan berdasarkan empat strategi iaitu meningkatkan kandungan pengetahuan, memacu produktviti, memupuk amalan lestari serta meningkatkan pengantarabangsaan.

“Strategi untuk meningkatkan kandungan pengetahuan dalam industri pembinaan termasuk meningkatkan kualiti modal insan, mempercepat pembangunan kapasiti dan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kontraktor Bumiputera selain mengurangkan ketidakpadanan antara permintaan dengan penawaran tenaga kerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 5:11 AM