Oleh Sri Ayu Kartika Amridan Sofyan Rizal Ishak
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) menjangkakan industri pembinaan akan menerima faedah tertinggi menerusi projek Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), termasuk pembangunan projek Lebuhraya Pan Borneo, Lebuhraya Pantai Barat, MRT2 dan LRT3.

Presidennya, Matthew Tee berkata, dianggarkan industri pembinaan akan berkembang sebanyak 10.3 peratus setahun dalam tempoh RMK11 dan ia disokong oleh kerja kejuruteraan awam yang berterusan serta perumahan sub-sektor yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi bagi memenuhi permintaan perumahan terutamanya dari golongan berpendapatan sederhana.

Beliau berkata, Malaysia berada di landasan yang betul bagi menjadi negara maju menjelang 2020 namun kerajaan seharusnya meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan perbelanjaan infrastruktur untuk lima tahun terakhir ini bagi mencapai matlatmat itu.

“Pengeluaran pembinaan untuk 2015 hingga 2020 dianggarkan dengan tiga senario ekonomi yang berbeza. Senario optimistik membayangkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan anggaran 10 peratus seterusnya mencapai pertumbuhan 6.2 peratus pada 2020.

“Senario sederhana menganggarkan pertumbuhan 5.0 peratus dan senario pesimis dianggarkan ekonomi berkembang pada kadar 0.5 peratus setahun bagi, mencapai pertumbuhan 5.13 peratus pada 2020,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, mengenai Sistem Pembinaan Perindustrian (IBS), kerajaan perlu memainkan peranan utama dalam menggalakkan IBS dan mewujudkan pembangunan hartanah untuk menarik pelaburan dalam sistem bangunan.

Tee berkata, kerajaan boleh mewajibkan pemaju untuk memasukkan IBS dalam reka bentuk bangunan supaya kontraktor boleh menganggarkan harga dan bekerja dengan sewajarnya.

“Selain itu, kerajaan juga seharusnya menerima pakai dasar yang memberi insentif kepada syarikat untuk meningkatkan penggunaan teknologi, seperti IBS.

“Kesimpulannya, industri pembinaan dijangkakan menerima faedah tertinggi. Kira-kira separuh daripada RM260 bilion (AS$72 bilion) diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan infrastruktur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 5:10 AM