CHRISTOPHER Lee.
BERSAMA pengarah Tim Burton.
WAJAH-wajah Lee di dalam filem lakonannya.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Aktor, Christopher Lee, 93, meninggal dunia pada 7 Jun lalu di Hospital Chelsea and Westminster , London.

Lee atau nama sebenarnya Christopher Frank Carandini Lee dilahirkan pada 27 Mei 1922 di Chelase, London, England.

Lee yang mendapat gelaran bangsawan pada 2009 daripada Kerajaan British meninggal akibat masalah pernafasan dan kegagalan jantung.

Jurucakap Royal Borough of Kensington and Chelsea mengesahkan sudah mengeluarkan surat kematian Lee, Isnin lalu.

Lee mula menjadi sebutan selepas membintangi filem Dracula dan Frankenstein. Dia turut memegang watak antagonis sebagai Sarumah

dalam filem The Lord of the Rings dan Francisco Scaramanga menerusi filem James Bond.

Berita kehilangan Lee bukan saja ditangisi rakan selebiriti, malah turut mendapat perhatian Perdana Menteri United Kingdom, David Cameron.

“Sedih mendengar berita kematian Sir Christopher Lee. Dia pertama yang sangat berharga dan kehilangannya sangat dirasai,” kata Cameron.

Aktor, Roger Moore yang turut beraksi dalam filem James Bond menjadi individu pertama mengesahkan berita kematian Christopher Lee.

“Saya kehilangan teman lama. Kali pertama kami bertemu pada 1948,” kata Moore.

Bintang The Lord of the Rings, Dominic Monaghan turut menyampaikan ucapan takziah dan menyifatkan Lee sebagi lelaki budiman.

Sementara itu, Tim Burton, pengarah yang pernah bekerjasama dengan Lee menerusi lima filem berkata, bintang legenda itu tiada galang gantinya.

“Lee sumber inspirasi terbesar dalam hidup saya. Sepanjang bekerja dengannya, saya rasa sangat seronok dan cukup menghormatinya.

“Apa yang saya boleh katakan, dia bintang legenda sepanjang zaman. Saya bertuah kerana menjadi antara kawan rapatnya. Saya percaya dia turut menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.

Antara filem arahan Tim yang dibintangi Lee adalah Sleepy Hollow (1999), Charlie And The Chocolate Factory (2005), Corpse Bride (2005), Alice In Wonderland (2010) dan Dark Shadows (2012).

Sebelum meninggal, Lee menjayakan filem The 11th di samping aktres, Uma Thurman.

Bersama studio Hammer, Lee menyerlah menerusi karakter dalam filem Frankenstein, The Mummy dan Dracula pada akhir 1950-an.

Filem lain yang pernah dibintanginya termasuk The Hound of the Baskervilles (1959), The Three Musketeers (1973) dan Jinnah (1997) yang dilabelkan sebagai filem paling pentingnya.

Sepanjang 68 tahun pembabitannya dalam dunia seni bermula 1947, Lee membintangi lebih 200 filem, puluhan drama serta pernah menghasilkan empat album.

Antara kejayaan yang pernah diraih adalah Pelakon Terbaik Phoenix Film Critics Society Award 2001 menerusi filem The Lord of the Rings, The Fellowship of the Ring dan Aksi Pertarungan Terbaik di MTV Movie Award 2001 (Star Wars Episode II: Attack of the Clones).

Lebih membanggakan, Lee turut menerima tiga pengiktirafan menerusi filem The Lord of the Rings: The Two Towers pada 2002 di tiga acara anugerah berbeza.

Sementara itu, penampilannya dalam filem Alice In Wonderland turut mendapat pengiktiran apabila menggondol anugerah Pertarungan Pilihan di Teen Choice Award for Movie pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 5:07 AM