FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Farihah Zulkifli, 20, bersyukur kerana pada usia 13 tahun, dia sudapun dapat menghafal keseluruhan 30 juzuk al-Quran.

Dia yang mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, merujuk kejayaannya itu akibat dipaksa memasuki sekolah tahfiz pada usia tujuh tahun.

“Pada mulanya, saya memang tidak berminat langsung ke sekolah tahfiz kerana merasakan pembelajarannya begitu sukar.

“Tetapi tiga tahun kemudian iaitu pada usia 10 tahun, saya mula menyesuaikan diri dan seterusnya mencintai ilmu al-Quran,” katanya yang antara 10 peserta yang memperdengarkan hafazan masing-masing pada hari terakhir pertandingan bagi kategori itu, hari ini.

Anak kedua daripada tujuh beradik ini berkata, dia diajar membaca al-Quran oleh ibu bapanya ketika berumur empat tahun sebelum dihantar ke Maahad Tahfiz Al-Quran Al Itqan di Ampang, Selangor.

“Saya kini amat bersyukur kerana dihantar ibu bapa saya ke sekolah aliran agama yang ilmu yang diperoleh tidak ternilai harganya bagi saya,” katanya.

Anak jati Selangor itu kini sedang menyambung pengajian peringkat Diploma Tahfiz Darul Quran yang dikelola sepenuhnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau turut berharap untuk menjadi johan pada pertandingan kali ini.

“Saya berhasrat mengikut jejak langkah Noorhafizah Mohd Safee yang menjuarai kategori hafizah tahun lalu,” katanya.

Farihah yang pernah mewakili negara pada peringkat antarabangsa di Jordan pada 2013, berkata dia mengamalkan memakan madu untuk melancarkan hafazan dan menguatkan daya ingatannya.

Tiga puluh dua peserta menyertai kategori hafazan. Malaysia turut diwakili Muhammad Syazani Jemy, 17, pelajar Maktab Rendah Sains Mara Gemencheh, Negeri Sembilan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 9:22 PM