FOTO ihsan PDRM
Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Permaisuri: Seorang lelaki maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah pacuan empat roda jenis Pajero di Kilometer 6 Jalan Sungai Bari-Pelong (Kampung Langkap), di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, mangsa, Mustapha Salleh, 52, dari Kampung Langkap meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Setiu (HS) akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha Lagenda ditunggang mangsa datang dari arah Kampung Bari menghala ke Pelong.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan membelok ke kanan dan pada masa sama, sebuah Pajero tiba dari arah bertentangan lalu melanggar motosikal mangsa.

"Akibat kemalangan itu, motosikal mangsa terseret manakala Pajero dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun terbabas ke kiri jalan dan merempuh hadapan sebuah rumah yang berada di tepi jalan.

"Mangsa yang parah di kepala di bawa ke HS untuk rawatan namun, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 7:42 PM