RENTETAN tangan Ross patah. - Foto metro.co.uk

Sydney: Penonton yang menyaksikan pertandingan gusti lengan yang disiarkan secara langsung oleh televisyen Australia, terkejut apabila seorang peserta yang juga bekas pemain ragbi menjerit kesakitan kerana tangannya patah.

Tangan kanan bekas pemain serangan itu, Ben Ross, patah ketika bergusti dengan bekas pemain sayap Wendell Sailor yang disiarkan Nine Network's Footy Show di Sydney, Khamis lalu.

Ross, 35, yang pernah cedera leher ketika Liga Ragbi Kebangsaan, berkata ia pengalaman paling menyakitkan dalam hidupnya.

Mereka bergusti untuk mengumpul dana tabung kebajikan.

Siaran langsung ketika Ross menjerit kesakitan itu serta-merta dihentikan tetapi yang sempat tersiar menjadi viral di media sosial.

Ross yang dihubungi di sebuah hospital di Sydney hari ini, berkata dia terdengar bunyi benda patah sebelum mendapati tangannya terkulai.

“Apabila saya melihat muka Wendell yang terkejut dan panik, saya tahu ada yang tidak kena. Ini perkara paling menyakitkan,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 4:02 PM