SELVI tiba di tempat akad nikah dengan kereta kuda.
PASANGAN pengantin menunjukkan sijil nikah mereka sambil diapit oleh Jokowi dan isterinya.
Agensi

Solo: Majlis perkahwinan putera sulung Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) berlangsung dengan penuh meriah dan mengikut tradisi masyarakat Jawa semalam.

Majlis perkahwinan Gibran Rakabuming dan pasangannya, Selvi Ananda yang berlangsung di dewan Graha Saba Buana itu dimulakan dengan acara akad nikah.

Selvi yang kelihatan anggun memakai baju kebaya berwarna putih hadir ke lokasi majlis dengan menaiki sebuah kereta kuda.

Beberapa pegawai kanan kerajaan dan ahli politik termasuk bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri turut dilihat hadir pada majlis berkenaan.

Majlis akad nikah itu dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran dan dihadiri keluarga serta tetamu jemputan sahaja.

Pasangan itu dinikahkan oleh ketua pejabat agama Kecamatan Banjarsari, Muchtarozi.

Dengan sekali lafaz, Gibran dan Selvi sah menjadi pasangan suami isteri.

Selepas majlis akad nikah pasangan berkenaan pulang ke kediaman keluarga Jokowi untuk menukar baju sebelum majlis makan.

Majlis itu berlangsung dalam dua sesi yang diadakan pada siang dan malam.

Pengurus upacara majlis itu, Umiyatsih berkata, Jokowi mahu majlis itu berlangsung dengan mengikut tradisi dan adat Jawa yang lengkap.

“Sejak dari awal lagi majlis perkahwinan ini mengikut tradisi dan adat Jawa.

“Tetamu yang hadir sangat bertuah kerana dapat menyaksikan sendiri adat perkahwinan dan kebudayaan Jawa yang jarang dapat disaksikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 1:22 PM