SEORANG penumpang feri karam dibawa ke hospital selepas tiba di pelabuhan Semayang.

Balikpapan (Indonesia): Lebih 60 penumpang sebuah feri yang karam di Selat Makassar kelmarin diselamatkan sebuah kapal perang tentera Amerika Syarikat (AS).

Feri Titian Muhibah dilaporkan tenggelam pada malam kelmarin ketika dalam pelayaran dari Pelabuhan Tanjung Laut di Kota Bontang, Kalimantan Timur, menuju Mamuju, Sulawesi Barat.

Bagaimanapun, penumpang berjaya diselamatkan oleh kapal perang USS Rushmore milik AS yang kebetulan melalui perairan itu.

USS Rushmore melalui selat itu yang terletak 210 kilometer dari sini selepas mengambil bahagian dalam aktiviti sosial di Manado, Sulawesi Utara.

Semua penumpang kemudiannya dipindahkan ke sebuah kapal milik Badan Operasi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) dan dibawa ke pelabuhan Semayang di Balikpapan.

Kapal Basarnas tiba di pelabuhan itu pagi semalam dan semua penumpang dihantar ke hospital berhampiran.

Seorang pegawai kesihatan Semayang, Siti Hatijah berkata, beberapa penumpang yang cedera dan lemah dihantar ke hospital untuk rawatan susulan.

Sementara itu, Basarnas dalam satu kenyataan memberitahu, tiada mangsa yang maut dalam tragedi feri karam berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 1:14 PM