Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya 380,313 syarikat dan entiti sudah berdaftar di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sehingga semalam, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata, jumlah itu melebihi sasaran asal kerajaan yang menjangkakan 240,000 syarikat akan berdaftar di bawah GST.

“Kita dapati persediaan di kalangan syarikat besar adalah lebih tinggi untuk berdaftar dengan GST berbanding syarikat kecil dan sederhana.

“Oleh itu, kerajaan akan meneruskan usaha penerangan kepada syarikat ini berkaitan GST, ” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad mahu kementerian kewangan menyatakan tahap dan suasana pelaksanaan GST dan langkah bagi mendepani kelemahan berkaitan pelaksanaannya.

Ahmad Maslan berkata, sehingga 30 Mei lalu, kira-kira 500 sesi program ‘hand holding’ sudah dijalankan membabitkan 59,000 orang dari pelbagai sektor perniagaan dan dijangkakan sebanyak 250 lagi program serupa akan diadakan di masa depan bagi memenuhi keperluan entiti perniagaan.

“Kastam juga sudah menubuhkan meja bantuan GST di setiap negeri untuk membimbing peniaga menguruskan GST.

“Panduan menyeluruh dalam portal Jabatan Kastam disediakan untuk peniaga buat tuntutan atau bayaran GST,” katanya.

Tambahnya 42 pertemuan Jabatan Kastam bersama pelanggan telah dijadualkan bermula 8 Jun lepas hingga 3 Julai depan bagi membantu pelanggan yang mempunyai masalah dengan GST.

Beliau berkata, sebagai usaha melancarkan pelaksanan GST, Jabatan Kastam juga telah membuat pengambilan pegawai baru seramai 805 orang, penempatan semula 1,143 pegawai mengikut keperluan dan 557 pegawai audit GST.

Beliau menambah sehingga semalam, kutipan import GST ialah berjumlah RM3.37 bilion manakala kutipan bersih tempatan pula ialah berjumlah RM2.95 bilion. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 6:15 PM