Kuala Lumpur: Faber Group Bhd (Faber) bakal menjadi satu daripada syarikat pengurusan dan pembangunan aset terbesar di rantau ini susulan selesainya penggabungan bernilai RM1.5 bilion dengan Opus Group Bhd (Opus) dan Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Bhd (Propel).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Faber, Azmir Merican berkata, dengan penggabungan itu, Faber kini memiliki penyelesaian strategik dan perkhidmatan yang merangkumi perundingan infrastruktur, pengurusan kemudahan, pengurusan hartanah, tenaga dan perkhidmatan penjagaan kesihatan, semuanya di bawah satu bumbung.

“Matlamat kami membantu pelanggan mengoptimumkan nilai aset mereka dengan memperkenalkan pengurusan aset strategik yang mengambil kira kos pusingan hayat aset terbabit.

“Pendekatan ini bukan sahaja membolehkan pelanggan kami mencapai penjimatan kos dalam jangka panjang, memaksimumkan daya saing dan keuntungan mereka, tetapi memberikan kos kitaran hayat lebih rendah dan pulangan pelaburan lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:06 AM