MAT Isa Jusoh menunjukkan motosikal jenis modenas Kriss milik mangsa yang tidak sempat dialihkan. FOTO Nor Juliana Yaakob
Oleh Norjuliana Yaacob
am@hmetro.com.my


Gurun: Seorang warga emas maut akibat dihempap dahan pokok Terap yang ditebang oleh rakannya dalam kejadian di Kampung Batu 9, Jalan Jeniang, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira 9 pagi ketika mangsa Che Darus Hashim, 65, mahu mengalihkan motosikal miliknya yang berada di bawah pokok terbabit.

Sumber berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian berikutan mengalami kecederaan parah di muka dan kepala.

Menurutnya, sebelum kejadian mangsa pergi ke belakang rumahnya untuk menebang pokok Terap sebesar pemeluk berkenaan bersama rakannya.

"Mangsa berada di bawah pokok cuba mengalihkan motosikalnya tetapi tidak sempat apabila dahan pokok berkenaan yang tumbang terus menimpanya.

"Lelaki berkenaan ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pemegang motosikal turut menghempap bahagian perutnya," katanya.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak dihantar ke lokasi kejadian, bagaimanapun mayat mangsa sudah dikeluarkan oleh orang ramai dari bawah rimbunan pokok berkenaan.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian, berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 4:04 PM