SUAREZ (kanan) mampu jadi faktor kemenangan.

Madrid: Luis Suarez akan melakukan penampilan kompetitif sulung di laman sendiri ketika pendahulu La Liga, Barcelona mahu melupakan kekecewaan tewas di tangan Real Madrid hujung minggu lalu apabila menanti kunjungan Celta Vigo, awal pagi esok.

Kekalahan kelab Catalunya itu di Santiago Bernabeu yang pertama dalam liga sejak Luis Enrique meninggalkan Celta Vigo, Mei lalu untuk mengambil alih jawatan di Nou Camp dan mengemudi Barca kembali ke puncak liga dengan hanya mempunyai kelebihan dua mata.

Suarez kembali selepas penggantungan empat bulan kerana menggigit Giorgio Chiellini di Piala Dunia untuk melakukan penampilan sulung buat Barca menentang Real dan bermula dengan impak positif apabila mencipta gol awal jaringan Neymar.

Pemain Uruguay itu juga menghasilkan hantaran menakjubkan kepada Gerard Pique ketika Barca menjulang Piala Super Catalunya dengan kemenangan menerusi penalti ke atas Espanyol pada pertengahan minggu dan Enrique memuji sumbangan Suarez setakat ini.

“Dia bermain dengan bagus, banyak membuat keputusan tepat dan sering terbabit dalam permainan kami,” ujar Enrique.

“Gerakannya bagus dan dia amat terdesak untuk bermain, seperti juga pemain lain dalam skuad ini.”

Lionel Messi dan Neymar tidak bermain awal pagi Khamis lalu, namun akan kembali membentuk gandingan berbisa dengan 20 gol antara mereka dalam 12 perlawanan musim ini.

Jordi Alba dan Ivan Rakitic juga dijangka kembali selepas digugurkan secara mengejut menentang Real manakala Andres Iniesta diketepikan kerana kecederaan betis.

Real berpeluang merampas kedudukan Barca di puncak liga buat beberapa jam apabila mengintai kemenangan ke-11 berturut-turut dalam semua pertandingan dengan kunjungan ke Granada malam ini.

Kapten Iker Casillas mahu juara Eropah itu mengekalkan kedudukan itu apabila La Liga berhenti rehat bagi cuti Krismas dalam tempoh tujuh minggu.

“Kami perlu cuba merampas kedudukan teratas La Liga sebelum Krismas kerana selepas menundukkan Barca, kami sudah memulakan langkah pertama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:06 AM