Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: 11street, pusat beli-belah atas talian terkini di Malaysia melancarkan aplikasi mudah alih untuk menyokong aktiviti membeli-belah atas talian melalui platform telefon pintar iOS dan Android.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hoseok Kim berkata, aplikasi mudah alih baru adalah komitmen syarikat untuk menyampaikan satu pengalaman membeli-belah atas talian yang boleh dipercayai dan mudah untuk pengguna Malaysia.

“Aplikasi mudah alih 11street dioptimumkan ini bakal meningkatkan pengalaman membeli-belah atas talian apabila ia dibangunkan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman dalam perkhidmatan perdagangan elektronik (e-dagang) di Korea dan usaha global,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, perbezaan utama aplikasi mudah alih 11street adalah kandungan secara meluas bersama ‘curated’ yang membolehkan pengguna mengakses produk jualan dan perkhidmatan lebih mudah terutama ke seksyen tawaran mengejutkan dengan jaminan harga terendah.

“Secara keseluruhan, pengguna boleh melayari dan mengetahui apa yang mereka suka di 11street secara lebih mudah pada bila-bila masa dan di mana sahaja dengan antara muka yang baik dikategorikan serta lebih interaktif.

“11street akan terus meningkatkan perkhidmatan aplikasi mudah alih untuk menawarkan pengguna pengalaman mudah alih lebih baik di mana pada hari ini lebih daripada 50 peratus trafik untuk 11street terhasil melalui peranti mudah alih,” katanya.

Hoseok berkata, 11street berkembang dengan pesat di Malaysia dan menjadi satu daripada tiga pasaran terbesar dengan lebih daripada 350,000 senarai produk yang kini boleh dilihat melalui iOS dan dan Android.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 7:39 AM