GIBRAN (tengah) bersama Jokowi dan ibunya, Iriana selepas majlis bersiram semalam.

Solo: Majlis akad nikah Putera sulung Presiden Joko Widodo (Jokowi), Gibran Rakabuming Raka dengan pasangannya Selvi Ananda hari ini disempurnakan wali hakim kerana keluarga pengantin perempuan bukan beragama Islam.

Majlis akad nikah itu berlangsung di Dewan Graha Saba Buana pada pagi ini dan dihadiri beberapa tetamu jemputan.

Sebelum ini, pasangan berkenaan berdepan masalah untuk mendaftarkan perkahwinan mereka kerana keluarga Selvi beragama Kristian.

Pejabat Urusan Agama Islam Banjarsari, Mukhtaroji berkata, selepas dirujuk kepada bahagian itu kedua-dua keluarga bersetuju menggunakan wali hakim.

“Seorang pegawai kami menjadi wali hakim atau saya yang menikahkan pasangan berkenaan,” katanya.

Katanya, mas kahwin yang diberikan Gibran kepada Selvi juga sangat ringkas iaitu hanya sepersalinan pakaian solat.

“Tiada wang atau barangan lain yang diberikan sebagai mas kahwin.

“Barangan ini sudah disiapkan dan akan diserahkan sebagai mas kahwin selepas selesai majlis akad nikah.

“Saya berharap majlis perkahwinan pasangan itu berjalan dengan lancar tanpa sebarangan halangan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 7:27 AM