Oleh Ibrahim Isa

Kota Tinggi: Semua 47 nelayan dan dua kapten kapal warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, sebentar tadi atas tuduhan memunggah ikan tanpa kebenaran Jabatan Perikanan di Tanjung Penyusop Sungai Rengit, pada 9 Mei lalu.

Sembilan daripada 47 nelayan itu adalah awak-awak dan kapten bot tunda serta tongkang Asia Link yang menerima ikan daripada kapal FV Perlon dalam kejadian pada 1.18 petang itu.

Kesemua warga asing terdiri daripada warga Indonesia, Singapura, India, Bangladesh, Chile dan Senegal mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa termasuk menggunakan khidmat seorang juru alih bahasa yang bertutur bahasaSepanyol dan Perancis.

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Juanita Mohd Said manakala pembelaan dilakukan peguambela Bernard George.

Semua tertuduh dituduh mengikut Seksyen 20 Akta Perikanan 1985 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan seorang kapten atau pemilik kapal boleh didenda RM 1 juta manakala awak-awak boleh didenda RM100,000 seorang.

Hakim Salawati Djambari mengenakan wang jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap seorang, passport diserahkan kepada mahkamah dan dua penjamin warga tempatan.

Selain itu, beliau menetapkan 8 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes anak kapal dan kapten bot tunda dan tongkang Asia Link manakala 2 Julai untuk awak-awak dan anak kapal PV Perlon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 3:07 PM