GAYA pemakaian tudung yang mudah.
PENAMBAHAN jahitan renda pada koleksi telekung menjadikannya tampak lebih menarik.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@mediaprima.com.my

Ia mudah digayakan, malah sesiapa saja mampu tampil menawan dalam masa singkat. Itu antara ciri-ciri unik yang diketengahkan butik IlhamMuslimah untuk semua wanita yang mahu bergaya menarik walau ke mana saja.

Uniknya, koleksi Hijab Instant yang ditampilkan jenama ini menjimatkan masa kerana si pemakai boleh menggayakannya dengan tiga langkah mudah.

Ia tidak perlu menggunakan sebarang pin, hanya sarung dan kemaskan, sudah memadai untuk menonjolkan gaya seperti memakai selendang dengan lilitan kemas.

Disebabkan kebanyakan wanita masa kini sibuk sepanjang hari, selendang ini begitu praktikal untuk bergaya pantas serta mengekalkan kekemasan dalam penampilan.

Menurut pemilik dan pengasas IlhamMuslimah Sharifah Norita Syed Abdullah, selendang segera berkenaan sesuai digayakan ke pejabat mahupun ketika bersantai.

"Ia menggunakan fabrik kapas rayon untuk memberi keselesaan selain rasa sejuk dan mengekalkan kekemasan kerana ia tidak mudah tertanggal.

"Jahitan kemas dan fabrik yang mudah dijaga juga membuatkan koleksi tudung ini digemari ramai. Selain mudah dan praktikal, ia juga tampil lebih menarik dengan gabungan dwiwarna yang dipilih dalam setiap koleksi berbeza.

"Terdapat 10 warna menarik bagi setiap koleksi untuk disuai padan dengan pakaian termasuk rona asas seperti hitam, coklat, biru, putih serta merah," katanya.

Katanya, ilham rekaan tudung segera itu tercetus selepas dia mula berhijab sejak lebih setahun lalu. Ketika itu, dia perlu mengambil masa yang lama untuk bersiap ketika menggunakan selendang biasa.

Sharifah Norita mula mencipta rekaan sendiri untuk memudahkan dirinya lantas berkongsi idea pemakaian tudung segera terutama dalam kalangan wanita yang baru mengenakan tudung agar dapat bersiap dengan pantas di samping mengekalkan gaya sopan.

Justeru, dia mengambil kira mengenai ciri-ciri labuh dan kelebaran rekaan tudung untuk memastikan ia boleh menutup bahagian dada si pemakai.

Butik IlhamMuslimah mula menjual jubah dan pakaian Muslimah secara borong sejak 2008 dan kini meneruskan usahanya menghasilkan rekaan tudung serta telekung.

"Untuk rekaan telekung, saya juga menitikberatkan bahagian jahitan yang teliti di bahagian muka, tidak terlalu longgar atau ketat untuk menutup aurat serta memberi keselesan ketika menunaikan solat.

"Telekung ini juga diberi perincian yang tidak kurang menarik. Setiap telekung dijahit dengan renda pelbagai warna bagi menambah keunikan dan menyerlahkan kecantikannya.

"Bagi menjaga kualiti dan kebersihannya, setiap koleksi telekung renda Ilham yang siap dijahit akan dibasuh dan digosok terlebih dulu sebelum dibungkus untuk dihantar kepada pelanggan," katanya.

Rekaan telekung berkenaan menggunakan fabrik jersi yang memiliki tekstur lembut, ringan dan tidak melekat pada badan bagi menjaga bentuk tubuh wanita agar tidak kelihatan dengan jelas ketika menggunakannya.

Pada masa sama, butik ini juga memerlukan pengedar di seluruh negara yang berminat dengan koleksinya. Semua koleksi daripada jenama ini boleh dilihat menerusi www.ilhammuslimah.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:03 AM