Kuala Lumpur: Tidak sampai 24 jam selepas mengumumkan menarik diri daripada bertanding merebut kerusi presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), bekas Presiden Datuk Seri Shahidan Kassim membuat pusingan U apabila dikhabarkan bakal bersaing semula merebut jawatan itu hari ini.

Ia sama sekali berbeza dengan pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kelmarin apabila menyatakan untuk menarik diri dan memberi sokongan penuh kepada seorang lagi calon presiden, Datuk Karim Ibrahim.

Jika desas-desus itu benar, drama perebutan kerusi nombor satu badan induk itu akan memasuki episod baru dengan menyaksikan saingan dua penjuru antara Timbalan Presiden, Datuk Wan Hisham Wan Salleh sekali gus memungkinkan Karim hanya bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden.

Ini kerana Karim yang juga Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP), bersungguh-sungguh memberitahu akan menarik diri jika Shahidan ingin merebut jawatan itu dan beliau hanya akan mencabar untuk jawatan nombor dua KOM.

Menurut sumber rapat menteri itu, Shahidan menukar pendiriannya selepas mendapat lampu hijau daripada Kabinet untuk bertanding dalam AGM kali ini.

“Apa yang saya tahu, beliau (Shahidan) bakal bertanding esok (hari ini) selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

“Biarpun nampak seperti iklan biskut sekejap ada sekejap tidak ada, beliau terpaksa juga bertanding kerana ada menteri yang tidak percaya kepada Karim dan sebab itu beliau diberikan kebenaran,” katanya yang tidak mahu namanya didedahkan.

Sementara itu, ketika mendapatkan ulasan Karim mengenai situasi kelam kabut yang menimpa KOM menjelang AGM hari ini, bekas Timbalan Presiden dari 2006-2012 itu nyata terkejut dan kecewa dengan apa yang berlaku.

Bagaimanapun, Karim menjelaskan Shahidan sudah kehilangan pencalonan selepas secara terbuka mengumumkan akan menyokongnya kelmarin.

“Kalau betul beliau bertanding, saya rasa beliau sudah hilang pencalonan kerana dua negeri iaitu Perlis dan Selangor yang mencalonkannya sudah menarik semula sokongan mereka kepada beliau.

“Secara teknikal, saya rasa beliau tidak boleh bertanding lagi. Tetapi jika berlaku sebaliknya, saya tetap mahu merebut jawatan presiden biarpun beliau akan bertanding. Apapun, baik kita tunggu esok (hari ini),” katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, Karim yang juga Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP) mendahului senarai pencalonan apabila meraih enam undi daripada Sabah, Pahang, Melaka, Perak, Johor dan Kelantan manakala Shahidan mendapat dua undi (Selangor, Perlis) dan Wan Hisham satu (Terengganu).

Seramai 42 perwakilan daripada 14 ahli gabungan KOM (setiap ahli gabungan mempunyai tiga wakil) bakal mengundi di Dewan Komanwel Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil dalam menentukan hala tuju baru badan induk sukan olahraga itu untuk tempoh dua tahun, 2014-2016.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:03 AM