Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Tanpa peminat siapalah dirinya. Menyedari hakikat itu, Zul Ariffin menghargai pengikutnya, malah sentiasa bersyukur dengan sokongan yang diterima.

Insiden yang berlaku antaranya dengan peminat baru-baru ini hingga dilabel sombong dan lupa diri bagaimanapun meruntun hatinya.

Tegasnya apa yang berlaku itu sebenarnya salah faham. Andai peminat berkenaan memahami keadaannya ketika itu, perkara ini pasti tidak timbul.

“Insiden itu menjadi viral di laman sosial hingga saya dituduh sombong dan lupa diri. Apa yang berlaku itu sebenarnya salah faham.

“Ketika bercuti dengan keluarga, ada peminat mahu bergambar, namun saya minta mereka bersabar kerana mahu letak beg yang dipegang.

“Kebetulan pula ibu ada di sebelah saya. Dalam kalut hendak letak beg, ada peminat tidak sabar dan ingat saya mengelak untuk bergambar.

“Dalam nada tegas saya minta mereka bersabar. Tidak ada pula saya mengeluarkan kata-kata kesat seperti yang diperkatakan,” katanya.

Zul berkata dia masih waras dan tidak mungkin mengeluarkan perkataan kasar hanya kerana masalah kecil seperti itu.

“Saya masih memerlukan peminat. Tanpa sokongan mereka tidak mungkin saya berada di tahap sekarang.

“Insiden yang berlaku itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada peminat lain kerana mereka faham, malah ramai masih menegur saya seperti biasa,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini, Zul memaklumkan jadualnya sepanjang Ramadan padat, malah kebanyakan masa dia berada lokasi penggambaran.

“Alhamdulillah rezeki saya tidak putus. Jadual sepanjang Ramadan padat dengan penggambaran..

“Program raya pula setakat ini belum ada. Andai ada tawaran, jika tidak mengambil masa yang lama mungkin saya buat.

“Ikut perancangan saya akan berehat seminggu sebelum raya dan kembali sibuk dengan penggambaran drama 80 episod, Uda dan Dara selepas itu.

“Jadual saya penuh sehingga September depan dan hanya boleh berehat pada Oktober nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 10:34 AM