QIERRA bersama Mark menyanyikan lagu popular mereka, Senyum Lagi.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Tiada yang lebih menggembirakan buat seorang penyanyi selain melihat album sulung berada di pasaran.

Begitu juga dengan penyanyi Qierra atau nama sebenarnya, Nur Sa’aidatul Shaqiera Saari, 21 yang kian popular menerusi lagu duet bersama Mark Adam, Senyum Lagi. Peluang berkolaborasi dengan penyanyi kelahiran Filipina itu membuka ruang kepadanya muncul dengan album solo.

“Alhamdulillah, impian untuk muncul dengan album berjaya direalisasikan. Saya memilih Senyum Lagi sebagai judul album kerana mula dikenali menerusi lagu itu.

“Untuk menghasilkan album ini, saya perlu menunggu tiga tahun kerana perlu menamatkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang Muzik dan Seni Persembahan terlebih dulu.

“Tiga lagu dimuatkan dalam album ini ciptaan saya sepenuhnya dan sebuah lagi oleh Enda dari kumpulan Ungu. Saya perlu berhati-hati dalam pemilihan lagu agar ia sesuai dengan aliran muzik semasa dan kena dengan selera pendengar,” katanya yang kini sibuk dengan rangka promosi album berkenaan.

Berhasrat menyambung pengajian di peringkat ijazah, Qierra yang bercita-cita menjadi pensyarah berkata akan membahagikan masa antara karier dan komitmennya sebagai pelajar.

“Saya minat menyanyi dan dalam masa sama mahu jadi pensyarah.

“Saya tidak ada masalah membahagikan masa antara belajar dan menyanyi. Lagipun bidang pengajian saya ada kena mengena dengan karier saya.

“Andai kata tiada rezeki dalam bidang nyanyian, mungkin saya fokus mengajar saja,” katanya.

Lima lagu yang dimuatkan dalam album solo Qierra adalah Rama-Rama, Sepi, Darimu, Cinta Tak Bersyarat dan Senyum Lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 10:17 AM