NEYMAR (kiri) taruhan Dunga.

Rio de Janeiro: Brazil berazam melupakan memori kempen memalukan pada Piala Dunia tahun lalu apabila mereka bersiap sedia untuk merampas semula gelaran sebagai jaguh bola sepak Amerika Selatan pada Copa America.

Cabaran Brazil pada Piala Dunia di laman sendiri berakhir memilukan dengan kekalahan besar 1-7 di tangan juara Jerman pada separuh akhir, keputusan yang disamakan dengan kekalahan tuan rumah kepada Uruguay pada kemuncak kejohanan 1950.

Kekalahan 0-3 di tangan Belanda pada penentuan tempat ketiga menambah keperitan Brazil yang dianggap negara bola sepak paling berjaya di dunia.

Namun setahun kemudian, Brazil menuju ke Copa America di Chile dengan keyakinan baru selepas meraih sembilan kemenangan berturut-turut sejak keaiban Piala Dunia di bawah kendalian bekas kapten, Dunga.

Dunga yang menggantikan Luiz Felipe Scolari, berjaya menyuntik semula mentaliti kemenangan termasuk pada perlawanan persahabatan ke atas Colombia, Chile, Argentina dan Perancis dengan Mexico menjadi mangsa terbaru menerusi kemenangan 2-0 di Sao Paulo, kelmarin.

Dunga yang mengemudi Brazil ketika kejayaan terakhir Copa America pada 2007, percaya persembahan kapten Neymar yang menjaringkan gol buat kelabnya Barcelona pada final Liga Juara-Juara hujung minggu lalu pasti bagus bagi kempen Copa America.

“Ini bagus bagi bola sepak Brazil secara keseluruhan kerana mempunyai seorang pemain yang menyumbat gol pada final dan memenangi Liga Juara-Juara,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 7:30 AM