Solo: Majlis pernikahan putera sulung Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) bermula semalam dengan acara meminang.

Mengikut tradisi Jawa, anak Jokowi, Gibran Rakabuming Raka bersama keluarganya harus hadir ke rumah bakal isterinya, Selvi Ananda untuk meminang gadis pilihannya itu.

Pengurus majlis pernikahan itu, Quirinto Endhi berkata, Gibran dan keluarganya termasuk Jokowi akan berjalan kaki menuju ke rumah keluarga Selvi.

“Gibran memilih untuk berjalan kaki sahaja kerana rumah mereka tidak jauh dan tiada perarakan besar-besaran ketika majlis ini,” katanya.

Katanya, majlis itu dihadiri keluarga rapat kedua-dua belah pihak dan tidak disertai tetamu dari luar.

“Pada majlis ini tiada sebarang hantaran dibawa hanya menyampaikan hasrat pihak lelaki untuk melamar sahaja,” jelasnya.

Majlis kemudiannya diikuti dengan majlis pertunangan dan akad nikah pada hari ini.

Kemuncak majlis itu berlangsung esok apabila 4,000 tetamu dijangka hadir pada majlis resepsi di sebuah dewan di bandar ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 7:20 AM