AFP

Paris: Seorang wanita Perancis menyaman kerajaan semalam kerana gagal menghalang anak lelakinya meninggalkan negara itu untuk menyertai Negara Islam (IS) di Syria.

Remaja yang dikenali sebagai ‘B’ itu berusia 16 tahun ketika melarikan diri bersama tiga rakannya dari bandar Nice di selatan Perancis pada 27 Disember 2013 tanpa memaklumkan keluarganya.

Remaja yang baru memeluk Islam itu menaiki pesawat ke Turki sebelum meneruskan perjalanan melalui jalan darat memasuki Syria.

Ibunya yang berhubung dengan remaja terbabit melalui telefon baru-baru ini berkata, anaknya masih di sana.

Katanya, dia hanya mengesyaki perancangan anaknya beberapa hari sebelum kehilangan remaja itu selepas dimaklumkan remaja lain di kejiranan mereka.

Dia cuma memaklumkan polis mengenai kehilangan anaknya selepas hilang 24 jam.

Peguam keluarga berkenaan, Samia Maktouf berkata, Turki terkenal sebagai laluan ke Syria.

“Polis melakukan kesilapan besar apabila membenarkan remaja bawah umur yang tidak ditemani orang dewasa pergi ke Turki sedangkan hanya mempunyai tiket penerbangan sehala dan tidak membawa bagasi,” katanya.

Sehubungan itu, wanita terbabit yang turut mempunyai tiga anak lain menuntut ganti rugi 110,000 euro (RM460,000) daripada kerajaan untuknya sekeluarga.

“Keluarga ini bukan semata-mata berminat dengan wang, namun mahu kerajaan mengakui kesilapan membiarkan remaja bawah umur terlepas seperti itu,” kata Samia.

Kementerian dalam negeri dalam satu surat kepada keluarga terbabit berkata, pihaknya tidak bertanggungjawab kerana budak itu bukan suspek yang dalam siasatan selain tiada asas dari segi perundangan untuk menghalangnya menaiki penerbangan itu.

Perancis mempunyai jumlah penduduk Muslim tertinggi di Eropah malah paling ramai dari situ yang menyertai perang di Asia Barat.

Kerajaannya menganggarkan 500 rakyat atau penduduk Perancis menyertai konflik di Syria.

Beberapa remaja bawah umur dihalang menyertai perang itu tahun lalu, kebanyakannya hasil maklumat disalurkan keluarga.

Kerajaan baru-baru ini meluluskan undang-undang membolehkannya merampas kad pengenalan dan pasport daripada pihak yang disyaki mahu ke Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 7:15 AM