Sydney: Seramai 18 orang cedera apabila sebuah kereta yang terbabas merempuh kafe di Ravenshore, 1, 710 kilometer di utara Brisbane, melanggar tong gas dan menyebabkan kebakaran hari ini.

Menurut jurucakap polis, kebakaran tong gas itu menyebabkan kafe berkenaan terbakar dan 18 orang cedera dengan tiga daripadanya parah.

Mangsa yang cedera ringan dihantar ke hospital berdekatan manakala yang cedera parah diterbangkan dengan helikopter.

Seorang pekerja ambulans berkata, ramai yang cedera akibat melecur dan dan bomba terpaksa mengambil masa beberapa jam untuk memadamkan kebakaran kafe itu.

Menurut laporan akhbar Cairns Post, berlaku tiga letupan yang hampir menerbangkan bumbung kafe berkenaan dan gegaran boleh dirasai di seluruh pekan yang berpenduduk kira-kira 1,000 orang itu.

Saksi, Ken Hodge memberitahu Australian Broadcasting Corporation, dia nampak dua kereta bertembung di depan kafe berkenaan dan satu daripadanya melambung masuk ke dalam kafe. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 3:38 PM