INDIVIDU yang ditahan dibawa ke IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut.
Oleh Rozainah Abdul Rahim

Port Dickson: Seramai 15 individu termasuk empat ditahan selepas polis menyerbu sebuah inap desa yang dipercayai dijadikan markas menganjurkan parti liar di Taman Seaview, Batu 2, Port Dickson, 2 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha berkata, serbuan dilakukan membabitkan sembilan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson sebaik menerima aduan orang ramai.

Menurutnya, mereka terdiri kakitangan swasta dan penganggur ditahan ketika asyik menari dalam keadaan khayal.

"Pemeriksaan polis menemui ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 21.80 gram, tin minuman keras serta alat pembesar suara.

"Semua ditahan berusia antara 18 hingga 34 tahun dan ujian air kencing mendapati 11 daripada mereka positif ganja.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 2:41 PM