KEJERNIHAN air di Hutan Simpan Ayer Hitam.
Oleh Azman Zakaria
rencana@hmetro.com.my


Mungkin ramai tidak menyedari di tengah kepesatan pembangunan Lembah Klang, tersimpan khazanah yang amat bernilai iaitu Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong, Sela­ngor.

Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Perhutanan menyasarkan untuk memasyhurkan hutan berkenaan yang mempunyai potensi besar sebagai model hutan pendidikan dan penyelidikan di peringkat antarabangsa.

Dekan Fakulti Perhutanan UPM Prof Dr Mohamed Zakaria Hussin berkata, pihaknya ingin menjadikan hutan ini sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan terkenal di seluruh dunia.

“Pada peringkat awal, kami mahu melaksanakannya di pering­kat tempatan, Asia Pasifik sebelum ke Asia dan seterusnya. Kini, kita berusaha mengorak langkah menjadikan Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) sebagai pusat pendidikan perhutanan tropika terunggul di rantau Asia Pasifik.

“Kini pelbagai inisiatif dan usaha dilakukan untuk menarik penyelidik luar negara dan menulis hasil penyelidikan mereka,” katanya.

Hutan simpan seluas 4,270.7 hektar ini diwartakan sebagai hutan simpan tertutup pada tahun 1906, tetapi keluasannya menurun kepada 1,176.1 hektar akibat kepesatan pembangunan dan perindustrian.

Bermula tahun 1996, melalui satu perjanjian Kerajaan Selangor memberikan kebenaran kepada UPM mengurus dan menjalankan aktiviti pendidikan, penyelidikan dan pengembangan perhutanan selama 99 tahun hingga 2095.

Justeru, UPM membangunkan SISFEC dan dirasmikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor UPM pada tahun 2012.

UPM menerima peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membina kompleks utama SISFEC merangkumi empat blok bangunan iaitu pentadbiran, dewan kuliah dan makmal bagi kegunaan aktiviti pengajaran, penyelidikan dan latihan kepada mahasiswa, staf dan penyelidik UPM.

Terdapat juga sirkit rempuh halangan dan tapak semaian pokok hutan bagi menyokong aktiviti pendidikan khususnya pelajar Fakulti Perhutanan.

Hutan ini didiami 430 spesies tumbuhan bunga, 33 spesies paku pakis, 127 spesies balak dan 99 spesies herba. Malah terdapat juga fauna, antaranya lima daripada 10 spesies mamalia besar di negara ini.

Selain itu, 208 spesies burung termasuk 35 spesies yang terancam dan 30 spesies berhijrah, 14 spesies mamalia kecil termasuk kongkang, 13 spesies kelawar,18 spesies katak, dua spesies reptilia dan 10 spesies ikan.

Kepelbagaian spesies ini menjadi daya penarik dalam kalangan penyelidik melakukan kajian saintifik.

Mohamed Zakaria berkata, SISFEC bertindak sebagai kelas dan makmal terbuka Fakulti Perhutanan untuk penyelidikan staf akademik serta aktiviti pengembangan.

“Pada masa ini lebih 100 penyelidikan dijalankan manakala purata 4,000 pengunjung setiap tahun.

“Hutan ini unik kerana kedudukannya dikelilingi bandar besar seperti Petaling Jaya, Cyberjaya, Kuala Lumpur dan Shah Alam, Sela­ngor serta satu-satunya hutan yang masih wujud di kawasan Lembah Klang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen Hutan dan Ladang, Fakulti Perhutanan UPM, Mohd Farhan Shahrin berkata, hutan itu bertindak sebagai ‘carbon sequestration’ iaitu penyerap karbon dan gas beracun sambil membekalkan oksigen kepada penduduk, selain punca air de­ngan kualiti air Sungai Rasau sejauh kira-kira dua kilometer.

“Dalam usaha memulihara hutan ini secara mapan, kami berdepan beberapa kes membimbangkan yang boleh menjejaskan peranan dan fungsi hutan ini sebagai hutan pelajaran serta penyelidikan.

“Kami sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan dan polis bagi memantau sebarang pencerobohan.

“Malah kami mahu menjadikan hutan ini satu lagi di Pulau Banding, Grik, Perak yang berkeluasan 3,337 hektar sebagai stesen penyelidikan dan pendidikan antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 12:28 PM