Unik, menyeronokkan dan mudah difahami. Clueless In Tokyo nampaknya tidaklah ‘sekeliru’ seperti tajuknya kerana Betty berjaya menghasilkan naskhah yang menarik.

Ia menyajikan memoir grafik unik yang menceritakan kehidupan harian si perantau di bumi asing. Ia juga ibarat kamus bergambar dan jurnal peribadi Betty yang sekali disertakan elemen lucu.

Tiada foto atau teks panjang berjela. Setiap muka surat dipenuhi lukisan tangan menggunakan cat air membabitkan hampir semua aspek penting dalam kehidupan seharian rakyat Jepun.

Betty berhijrah ke negara matahari terbit itu mengikut suaminya yang berpindah lokasi pejabat dalam sektor swasta. Bosan dengan kehidupan di rumah, Betty menjelajah sekitar Tokyo selepas suaminya keluar bekerja dan mula mempelajari adat resam penduduk tempatan.

Sepanjang tujuh tahun berada di negara itu, Betty berjaya memenuhkan buku lakarannya dengan variasi lukisan yang banyak berkisarkan makanan, aktiviti sosial, sukan, ritual agama, fesyen dan perkara tabu dalam masyarakat.

Judul: Clueless In Tokyo

Penulis: Betty Reynolds

Penerbit: Tuttle Publishing

Harga: RM44.90

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 12:05 PM