HAMILTON
AFP

Montreal: Juara dunia Lewis Hamilton bangkit serta mengukuhkan kedudukannya dalam kejuaraan pemandu apabila memenangi Grand Prix Kanada di depan rakan sepasukan Mercedes, Nico Rosberg, awal pagi semalam.

Juara dunia dua kali itu menggunakan sepenuhnya kelebihan bermula dari petak utama kali ke-44 sepanjang kariernya untuk mendahului dari mula hingga tamat, mengakhiri perlumbaan 70 pusingan di Litar Gilles Villeneuve itu 2.2 saat di depan pemandu Jerman berusia 29 tahun itu.

Kemenangannya menamatkan dua kemenangan berturut-turut Rosberg dan mengesahkan dia pulih daripada kekecewaan berikutan kesilapan hentian pit Mercedes di Monaco, apabila Hamilton dinafikan kemenangan yang hampir pasti pada beberapa pusingan terakhir.

Ia kejayaan keempat Hamilton di Kanada, kelima buatnya tahun ini dan ke-37 sepanjang karier, melonjakkannya 17 mata di depan Rosberg dalam perebutan kejuaraan dengan 151 mata berbanding 134 dikutip pemandu Jerman itu.

“Adakah saya memerlukan ini (selepas Monaco)? Ya, saya fikir perlu,” kata Hamilton, menambah: “Saya sukakan Montreal, saya gemarkan litar ini dan saya sayangkan bandar raya ini. Rasa terlalu bagus untuk menjejak tangga teratas sekali lagi.”

Rosberg gagal memberikan cabaran bermakna ketika dia menghuni tangga kedua di depan dua pemandu Finland, Valtteri

Bottas dari Williams dan Kimi Raikkonen dari Ferrari.

Rosberg akur kalah buat kali pertama dalam tiga perlumbaan. “Saya berusaha bagaikan orang gila, tapi saya tidak mampu melakukannya. Tangga kedua masih OK. Saya agak kurang ketika kelayakan. Kepantasannya amat bagus.

“Memang ada isu, dengan minyak dan brek, tapi Lewis juga menghadapi perkara sama.”

Bottas, yang menikmati penamat podium pertamanya musim ini berkata: “Kami amat memerlukan ini. Ia ternyata meningkatkan keyakinan. Kami pasukan ternama dan boleh bersaing merebut podium.”

Juara empat kali Sebastian Vettel berakhir di tangga kelima selepas bergelut dari petak ke-18 dalam jentera kedua Ferrari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 8:48 AM