KEADAAN hiba menyelubungi lobi Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam, Melaka, sebaik jenazah Muhammad Loqman Abdul Karim tiba di sini.
Oleh Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: Jenazah Allahyarham Muhammad Loqman Abdul Karim, 23, mangsa gempa bumi Gunung Kinabalu, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, sebentar tadi.

Jenazah yang tiba pada 11.50 malam itu, disambut kira-kira 100 ahli keluarga dan rakan-rakan.

Jenazah yang diiringi bapa, Abdul Karim Mohd Yazam dan ibunya Izzah Abu Bakar diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menggunakan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Jenazah kemudiannya dibawa menaiki van ke kediaman datuknya di Chinchin, Jasin, untuk dikebumikan selepas subuh nanti.

Muhammad Loqman yang juga penuntut tahun tiga Institut Perguruan Antarabangsa, Kuala Lumpur terkorban ketika menyertai aktiviti Gunung Kinabalu selepas negeri itu dilanda gempa bumi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 12:25 AM