INSPIRASI terumbu karang menonjolkan kelainan pada seramik Ilhamstudio.
SESUAI untuk hiasan dan kegunaan.
MENGEMBALIKAN keunikan seni tradisional dengan kekuatan produk kraf.
Oleh Hartini Mohd Nawi
hartini@mediaprima.com.my

Penghasilan produk kraf begitu dekat dengan sumber alam semula jadi dalam mengadaptasikan rekaan serba unik.

Seni kreatif yang dizahirkan pada setiap produk kraf juga sentiasa segar, diterima pakai dan tidak pernah lapuk ditelan zaman.

Terbaru, karya berbeza setiap usahawan boleh ditemui di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay sempena Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2014.

Pelbagai ilham dan idea baru dikongsikan selari dengan perkembangan seni hiasan dalaman.

Anda yang mengunjungi promosi itu pasti tidak melepaskan peluang berada di gerai Ilhamstudio kerana seni dekorasi berbeza dan unik.

Deretan seramik yang tampil dengan warna natural pastinya membawa gambaran inspirasi alam sepenuhnya.

Reka bentuk seramik dihasilkan dengan seni terumbu karang itu menjadi mesej paling bermakna.

Bayangkan keindahan setiap terumbu karang itu diolah seindah mungkin dengan teknik menarik hingga seolah-olah membawa anda benar-benar berada di persekitaran pantai atau pulau.

Pemilik dan pereka Ilhamstudio, Mohd Radzi Ismail berusaha menterjemahkan keunikan terumbu karang di sekitar Pulau Langkawi.

Menurut wakil Ilhamstudio, Nor Hidayaah Shahrun, reka bentuk seramik yang unik itu turut menarik perhatian pelancong asing.

"Ini kerana produk kraf di sini sesuai dijadikan cenderahati dan kelihatan eksklusif apabila menghiasi ruang.

"Menghayati keindahan hasilnya membuatkan kita lebih dekat dan menghargai sumber alam," katanya.

Dalam kepelbagaian itu, Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2014 turut memberikan idea lengkap menerusi pameran dan jualan produk baru.

Penggayaan diketengahkan sebaik mungkin berasaskan produk kraf dengan reka letak memanfaatkan ruang sedia ada.

Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2014

Bertemakan Kraf Ceriakan Mahligai Anda dengan mengetengahkan penggunaan produk kraf tempatan sebagai dekorai dan kelengkapan ruang kediaman, pejabat dan taman.

Turut menggabungkan aktiviti dalam mempromosikan produk kraf bagi hiasan dalaman dan seni taman berasaskan serta berinspirasi alam semula jadi.

Promosi kali kelapan itu masih meneruskan konsep jualan, pameran dan pendidikan kraf.

Penghasilan bahan asas, rekaan produk dan motif hiasan lima kraf utama iaitu hasil rimba, hasil tanah, hasil logam, tekstil dan anek kraf berasaskan alam semula jadi dikongsikan.

Bermula 23 Oktober lalu, promosi ini dijangka berakhir 3 November ini. Ia dibuka jam 10 pagi hingga 10 malam.

Layari www. kraftangan.gov.my untuk sebarang keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:01 AM