Kuala Pilah: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan jualan RM370 juta membabitkan 1,600 francaisi yang berpotensi bersempena Francais Antarabangsa Malaysia 2015 (FIM 2015) yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) daripada 12 hingga 14 Jun ini.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, acara yang bakal dirasmikan Perdana Menteri pada 13 Jun itu mengandungi 110 ruang niaga apabila 32 daripada jumlah itu akan diambil daripada francaisor dari tujuh negara iaitu Singapura, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Australia dan Taiwan.

“Acara yang dianjurkan bersama KPDNKK dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) bertemakan ‘Leap Beyond the Limits’ ini dijangka menarik kehadiran 12,000 pengunjung sepanjang tempoh tiga hari penganjuran,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, FIM 2015 platform membina rangkaian perniagaan francais, berkongsi idea dan pengetahuan mengenai francais dan peluang untuk mengenal pasti peluang francais.

Menurutnya, beberapa memorandum persefahaman bakal ditandatangani bersempena acara itu selain penganjuran persidangan antarabangsa yang akan dihadiri 300 delegasi tempatan dan antarabangsa.

“Selain acara padanan perniagaan, terdapat beberapa aktiviti menarik termasuk pertandingan barista oleh Gloria Jeans Coffee, pertandingan yogurt (Tutti Fruti), demonstrasi masakan (Young Chef Academy) dan sesi dandanan (Avon),” katanya. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 6:36 AM