PERSEMBAHAN bertenaga dan tarian memukau daripada BTS.
BTS pada acara sidang media sehari sebelum berlangsungnya konsert.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


“Aku Cinta Kamu.” Itu ayat keramat daripada setiap anggota kumpulan Bangtan Boys atau Bulletproof Boy Scouts (BTS) sehingga membuatkan gadis yang hadir ke konsert 2015 BTS Live Trilogy In Malaysia: Episod II. The Red Bullet pada malam kelmarin seakan histeria.

Membuka tirai persembahan dengan lagu N.O, BTS yang dianggotai tujuh anak muda, Rap Monster, Suga, Jin, J-Hope, V, Jimin dan Jungkook tampil kacak dengan persalinan sut hitam. Ternyata setiap daripada mereka punya aura tersendiri.

Kumpulan yang kali pertama mengadakan persembahan di Kuala Lumpur ini bertuah kerana memiliki peminat yang sangat ‘happening’. Mana tidaknya, dari awal persembahan sehingga ke penghujung, setiap lagu yang disampaikan dinyanyikan bersama.

“Anda semua memang terbaik. Tanpa kalian kami tidak berada di sini. Kami sayang anda dan Malaysia. Terima kasih buat keluarga dan rakan, harap anda semua terhibur dengan persembahan kami.

“Paling penting, sokongan yang anda berikan satu lagi memori indah buat kami,” kata Rap Monster.

Dihadiri lebih 1,000 penonton, BTS mengotakan janji mereka untuk memberikan persembahan terbaik. Meski perlu menyanyi dan menari dalam satu masa, itu bukan halangan. Sepanjang hampir dua jam persembahan, stamina mereka tidak mengecewakan.

“Bagi mendapatkan stamina yang baik ketika mengadakan persembahan di pentas, setiap hari kami bersenam. Kami luangkan masa yang banyak untuk itu. Dari segi tarian pula, kami ada jurutari khas,” katanya.

Beralih dari satu lagu ke lagu lain, BTS tetap bersemangat apatah lagi setiap kali mereka bercakap peminat tidak henti bersorak. Mungkin sebab itu mereka berulang kali mengatakan “Bagus! Bagus! Bagus!” kepada semua peminat.

Selain lagu yang ditampilkan, paparan visual di skrin LED dan pencahayaan di keseluruhan Megastar Arena turut membantu membangkitkan ‘mood’ penonton. Bagaikan tidak ada cacat celanya, sorakan yang bergema tanda kejayaan konsert mereka.

Penonton puas

Tidak hanya mendendangkan lagu rancak, BTS juga menggunakan kelebihan yang ada dengan menyampaikan lagu pop mereka. Tidak hairanlah jika ada yang tersentuh tatkala mereka mendendangkan lagu Let Me Know.

BTS yang bakal tampil dengan album baru turut menghadiahkan peminat yang hadir dengan single terbaru mereka berjudul I Need U.

“Anda semua cukup bertuah kerana ini kali pertama kami menyanyikan lagu baru daripada album baru yang akan diterbitkan tidak lama lagi. Seperti mana tajuknya, begitu juga kami yang perlukan sokongan kalian,” kata Rap Monster lagi.

Tatkala mengumumkan lagu terakhir berjudul Attack On Bangtan, sorakan ‘no’ bergema. Tapi, peminat perlu akur selepas hampir 23 lagu dipersembahkan.

Antara lagu yang disampaikan BTS ialah N.O, We Are Bulletproof, We On, Hiphop Lover, Let Me Know, Rain, Blanket Kick, Just One Day, Look Here, Propose, No More Dream, Tomorrow, Miss Right, Pretty Women, I Like It, If I Ruled The World, Killer, War of Hormone, Danger, I Need U, Boy In Love, Road, Boyz With Fun dan Attack On.

Meski yang hadir masih belum puas, BTS akan kembali dengan siri konsert ketiga berdasarkan apa yang dipaparkan pada penghujung persembahan.

BTS yang ditubuhkan pada 13 Jun 2013 mampu berbangga kerana memenangi beberapa anugerah tertinggi di industri muzik K-Pop. Antaranya, New Artist of The Year di 2013 MelOn Awards dan Golden Disk Awards.

Tahun lalu mereka turut membawa pulang trofi Bonsang Award di 2014 Seoul Music Awards dan World Rookie Award di Gaon Chart K-Pop Awards.

Selepas Malaysia, BTS menjelajah ke Australia, Amerika Syarikat, Mexico, Brazil, Chile, Thailand dan Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 5:02 AM