Reuters

Kaherah: Mahkamah rayuan Mesir semalam membatalkan penyenaraian Hamas sebagai organisasi pengganas.

Keputusan itu disambut baik Hamas yang melihatnya langkah ke arah hubungan lebih baik dengan Kaherah, malah disifatkan jurucakapnya Hamas Sami Abu Zuhri sebagai ‘memperbaiki kesilapan lalu.’

“Ia menunjukkan komitmen Kaherah dalam peranan penting dimainkannya untuk perjuangan Palestin. Pasti ini membawa kesan dan hasil positif antara Hamas serta Kaherah,” katanya.

Hamas cabang Ikhwanul Muslimin Mesir yang diisytiharkan pengganas sejak Mohamed Mursi digulingkan sebagai presiden pada 2013.

Pihak berkuasa Mesir mendakwa senjata diseludup dari Gaza ke Mesir untuk digunakan kumpulan militan yang mahu menggulingkan kerajaan.

Sementara itu, peguam Ashraf Farahat yang sebelum memfailkan kes itu terhadap Hamas berkata, dia akan meminta Kementerian Luar Mesir tetap memasukkan Hamas dalam senarai organisasi pengganas berdasarkan keputusan kehakiman terdahulu.

“Ada dua penghakiman yang meletakkan Ikhwanul Muslimin dan Briged Izzudin al-Qassam (sayap bersenjata Hamas) sebagai pengganas,” katanya.

Sejak beberapa tahun lalu Kaherah memainkan peranan penting dalam gencatan senjata antara Israel dengan Hamas termasuk perjanjian yang berjaya menamatkan perang selama 50 hari pada Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:13 AM