Gong Seung Yeon dilaporkan menghadiri uji bakat drama 50 episod, Six Flying Dragons untuk saluran SBS pada 4 Jun lalu.

Drama itu memaparkan figura sejarah sebenar iaitu Lee Bangwon, Jung Do-jeon dan Yi Seonggye serta mengetengahkan watak cereka Lee Bangji, Moo Hyool dan Boon Yi. Ia mengisahkan enam individu yang bertukar menjadi naga untuk membentuk asas sebuah tanah baru.

Seung Yeon menyasar watak Min Da Kyung yang menjalin hubungan romantis dengan Lee Bang-won. Aktres itu berkata berlakon sangat menyeronokkan dan akan terus mendalaminya.

“Saya sungguh terhutang budi pada pengarah dan penulis yang memberi peluang ini. Saya akan belajar banyak perkara bersama pelakon lain dan dewasa sebagai pelakon,” kata Seung Yeon teruja.

Penggambaran Six Flying Dragons akan bermula bulan depan dan dijangka bersiaran pada Oktober. Yoo Ah In dikatakan akan melakonkan watak utama, Lee Bang-won, manakala Shin Se Kyung pula tampil sebagai heroin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:05 AM