NOR Hazimi (depan tiga dari kiri) bersama isteri (depan dua dari kiri) dan ibu saudara (dua dari kanan) serta kakitangan Dapur Koi.
SAMBAL tempoyak bilis petai dan pucuk ubi tempoyak pelengkap juadah.
Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Populariti gulai tempoyak ikan patin tidak perlu disangkal lagi kerana masakan dari Pahang itu mempunyai peminat tersendiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, terutama penggemar ikan sungai.

Malah disebabkan kehebatan reputasi ikan patin itu, ramai sanggup memandu jauh ke Pahang, terutama daerah Temerloh, semata-mata mahu menikmati keenakan gulai ikan patin yang asli. Namun, pergilah ke ceruk mana pun di negeri berkenaan, pasti hidangan istimewa itu mudah didapati.

Bagi memenuhi selera penggemar gulai tempoyak ikan patin di sekitar Lembah Klang, banyak usaha dilakukan untuk membawa hidangan istimewa itu ke Kuala Lumpur dan Selangor.

Namun, bukan semua peniaga makanan mampu menyediakan gulai tempoyak ikan patin yang dapat memikat selera dan memenuhi kehendak pelanggan.

Kini, tidak sukar mencari gulai tempoyak ikan patin yang menepati selera dan makanan tradisi Pahang yang lain di Lembah Klang apabila seorang anak jati dari negeri berkenaan membuka Restoran Dapur Koi di Taman Putra Kajang, Kajang.

Pelanggan pasti menikmati gulai tempoyak ikan patin di restoran yang baru dibuka dua bulan lalu itu kerana aromanya memikat dan rasanya teramat sedap. Keenakan gulai tempoyak ikan patin melekat dalam ingatan pelanggan dan sentiasa mengidam untuk memakannya.

Masih terbayang-bayang saat menikmati isi ikan patin yang lembut, empuk dan tidak berbau hanyir, manakala kuah pula pekat dengan tempoyak. Dimakan saja dengan nasi putih panas, memang boleh licin pinggan.

Menurut pemilik Restoran Dapur Koi, Nor Hazimi Khatmaradzi, ilham membuka kedai makan yang menghidangkan masakan tradisi Pahang, terutama gulai tempoyak ikan patin tercetus hasil dorongan rakan.

“Setiap tahun saya mengadakan rumah terbuka pada Aidilfitri dan menjamu tetamu dengan juadah tradisi Pahang seperti gulai tempoyak ikan patin, sambal tempoyak bilis petai dan pucuk ubi tempoyak.

“Ramai rakan menggemari masakan berkenaan dan mengesyorkan saya membuka kedai makan kerana mereka boleh menikmatinya selalu dan tidak perlu menunggu jamuan rumah terbuka yang diadakan setahun sekali,” katanya.

Dia yang dibantu isteri, Shariza Zainol Rashid berkata, harga gulai tempoyak ikan patin juga dijual berpatutan kerana bekalan diambil terus dari penternak ikan sangkar di Pekan, Pahang. Seketul ikan patin dimasak gulai tempoyak dijual antara RM12 hingga RM18, manakala ikan patin yang dimasak pais dijual pada harga RM10.

Menu lain dihidangkan seperti pais patin, gulai tempoyak ikan baung, ayam kampung goreng, opor daging, sambal hitam dan pencuci mulut istimewa, puding raja iaitu jala emas yang dimakan bersama kuah berasaskan susu, pisang lemak manis yang digoreng, buah prun, ceri dan gajus.

Nor Hazimi berkata, tidak dinafikan keenakan sesuatu masakan itu bergantung pada kemahiran tukang masak dan bahan masakan yang cukup. Disebabkan itu, segelintir kedai makan yang menyediakan gulai tempoyak ikan patin ini kurang menyengat.

“Saya memang cerewet mengenai masakan tradisi Pahang dan disebabkan mahu mengekalkan keaslian semua juadah yang dijual daripada aspek pembuatan dan rasa, saya meminta ibu saudara datang dari Pahang untuk menyediakannya.

“Ibu saudara, Aminah Osman, memang pakar dalam menyediakan masakan tradisi Pahang. Beliau belajar memasak daripada bapanya yang juga tukang masak dan mereka selalu mengambil tempahan makanan untuk pelbagai majlis di sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:01 AM