LABUAN: Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda daerah Ranau di Sabah awal pagi ini, turut menggegarkan pulau bebas cukai ini.

Kompleks Taman Kewangan yang menempatkan banyak jabatan dan agensi kerajaan di sini bergegar selama beberapa saat, sebelum 8 pagi dan menyebabkan beratus-ratus pekerja bergegas meninggalkan bangunan itu untuk mengelak kejadian yang tidak diingini.

Pegawai Keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Ahmad Azmer berkata, jabatan itu menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 8 pagi dan segera menghantar pasukannya ke kompleks tersebut, yang juga merupakan tempat beli-belah.

“Setelah menjalankan pemeriksaan dengan kerjasama petugas kompleks itu, kami tidak menemui sebarang kerosakan akibat gegaran yang berlaku dan mengisytiharkannya selamat untuk didiami," kata beliau dalam satu kenyataan.

Gempa bumi itu juga mengakibatkan berlaku gegaran di beberapa kawasan di Kota Kinabalu, Tambunan, Pedalaman, Tuaran dad Kota Belud. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 5:03 PM