KETIKA persembahan Orkestra Simfoni Remaja pada 2011.
CONCERT master menggalas banyak tanggungjawab dalam persembahan mahupun ketika latihan.
TERSENYUM gembira dikelilingi anak muridnya.
FOKUS ketika latihan supaya kumpulan orkestra melakukan yang ter baik.
AKSI bersahaja sebelum persembahan bermula.
Oleh Sajarutul Nor Kasim dan Siti Salmiah A Hamid
rencana@hmetro.com.my


Sewaktu penulis mendengar alunan gesekan biola daripada sedutan filem Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee, terbentang di depan mata pelbagai watak beliau sama ada lucu, serius atau sedih yang bukan saja menarik perhatian, malah membuatkan penonton menitiskan air mata.

Gesekan biola itu begitu syahdu, malah berjaya menarik tepukan gemuruh penonton yang menghadiri International Music Performing Arts Conference (IMPAC) tahun lalu, bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bukan mudah untuk menganggotai sebuah orkestra muzik serta membuat persembahan di atas pentas. Namun, ia bukan sesuatu yang sukar dicapai selepas mengutip bertahun-tahun pengalaman sehingga melayakkan beliau berada pada tahap hari ini.

Mayya Musaeva bukan satu nama baru dalam kalangan orkestra simfoni. Malah, ketika Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) lalu, beliau berperanan sebagai ‘concert master’ dan pemain biola pertama yang berperanan penuh mengawal perjalanan orkestra berkenaan.

“Pemain biola yang duduk di kerusi pertama dari kiri konduktor itulah concert master. Posisi ini biasanya diberikan kepada pemain biola terbaik yang memiliki kemahiran kepemimpinan baik.

“Rutin muzik untuk program televisyen seperti AJL memerlukan kesungguhan. Ia bermula sebelum waktu latihan, termasuk spektrum yang luas berkaitan pasukan produksi dan kumpulan pemuzik, dari susun atur skor sehingga pemilihan pemuzik yang mempunyai kemahiran berprestasi tinggi.

“Latihan utama bermula dua hingga tiga hari sebelum persembahan, amat menggembirakan apabila mendengar nyanyian artis yang hebat dan berkomunikasi dengan mereka ketika waktu rehat.

“Pada hari persembahan, kami menanti dengan penuh debaran apatah lagi saya gembira melihat penonton bersemangat di dewan persembahan walaupun pada hari raptai biasa dan waktu konsert itu sendiri. Saya sukakan reaksi gembira itu hasil daripada alunan muzik orkestra, antara elemen mewarnai kehidupan manusia,” katanya.

Beberapa saat sebelum nota pertama konsert AJL dimulakan, ahli akan tertumpu kepada Mayya yang berada di barisan hadapan orkestra. Semua ahli orkestra yang berlatih dan memanaskan suasana terhenti tiba-tiba selepas Mayya memberi isyarat untuk memulakan muzik orkestra.

Hanya selepas berpuas hati, baru beliau mengambil tempat selaku pemain biola pertama, memberi isyarat kepada konduktor orkestra, Datuk Ramli MS yang mengiringi hampir semua lagu.

“Saya juga bertanggungjawab bermain di peringkat teknikal dan muzikal paling tinggi serta menjadi wakil orkestra untuk menyuarakan permintaan atau masalah dihadapi pemuzik kepada pihak pengurusan.

“Kedudukan concert master menjadi rujukan kepada ahli orkestra. Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk melihat pemuzik orkestra bermain sebagai satu suara.

“Namun, pada masa sama, saya juga perlu patuh pada konduktor, menyampaikan ideanya mengenai muzik kepada ahli orkestra. Memahami dan menyebarkan konsep seorang konduktor,” katanya.

Beliau berkata, concert master berperanan membantu konduktor dalam memimpin orkestra sebagai satu kumpulan.

“Saya menggunakan kepakaran dalam bidang itu untuk melatih pemuzik dan membantu mereka meningkatkan mutu persembahan.

“Tugas concert master turut membabitkan beberapa paradoks. Di sebelah tangan, saya perlu bermain dengan disiplin anggota orkestra dan berusaha untuk bersatu dengan pemain biola yang lain.

“Namun, apabila memerlukan gesekan biola tunggal, saya berasa bebas memainkannya dengan sebaik mungkin,” katanya.

Menurutnya, pemuzik orkestra bergantung kepada concert master yang juga dilantik konduktor bagi menyelesaikan masalah teknikal dan berbincang dengan konduktor sekiranya timbul masalah.

“Seorang konduktor perlu berasa selesa dengan concert master kerana dia perlu berasa bebas untuk membiarkan imaginasinya terbang bersama kumpulan muzik yang dipimpinnya, menyedari concert master akan turut bersama-samanya dan membawa seluruh orkestra bersama,” katanya.

Tambah Mayya, kedudukan concert master adalah sangat berprestij bukan saja di negara kelahirannya, malah di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Mereka menerima bayaran lebih tinggi berbanding pemuzik orkestra lain dan sama-sama menggalas tanggungjawab berat.

Mayya berlatih setiap hari dan mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapai kedudukan sebagai pemain biola pertama merangkap concert master.

Beliau belajar selama 17 tahun hasil didikan Profesor Alla Kim, pengasas Raduga-Ensemble (orkestra pertama menampilkan semua wanita sebagai pemain muzik) sebelum memperoleh pekerjaan pertamanya dengan mengamalkan latihan selama lima hingga enam jam sehari.

Menyingkap pembabitannya sebagai concert master, Mayya pernah mengetuai Uzbekistan Bolshoi Ballet Orchestra selama tiga tahun untuk opera seperti Madam Batterfly, Quin of Spades, Toska dan Iolanta.

Beliau bermain biola solo untuk balet dalam Sleeping Beauty, Swan Lake serta The Fountain of Bakhchisarai.

Ketika dilantik sebagai concert master untuk Uzbekistan Bolshoi Ballet Orchestra yang mengadakan lawatan di Malaysia pada 1995, Mayya dijemput oleh Tan Sri Sabbaruddin Chik (bekas menteri di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan) untuk menganggotai Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

Justeru, selama 15 tahun bekerja dengan Istana Budaya sejak 1997 memberi banyak pengalaman dan peluang, selain turut mengembangkan ilmu dimilikinya kepada kumpulan Orkestra Simfoni Remaja (OSR) selama tujuh tahun dan terbabit dengan pelbagai persembahan di Istana Budaya.

Berkongsi pengalaman dan pencapaian beliau dalam industri muzik, Mayya pernah mengadakan persembahan dalam pelbagai majlis dan program realiti seperti Anugerah Industri Muzik (AIM), Kilauan Emas dan Astro Star Quest.

“Ketika berkhidmat di Istana Budaya, saya diberi penghormatan untuk mengiringi persembahan ramai artis dari luar dan dalam Malaysia seperti Richard Clayderman, Russel Watson dan Il Divo.

“Saya diberi tanggungjawab menggesek biola untuk rakaman album dan lagu artis terkenal negara seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Adibah Noor,” tambahnya.

Wanita berjiwa seni itu kini menggalas tugas sebagai pensyarah di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, UPSI sejak 2012.

“Bermain muzik di khalayak ramai sentiasa memberi saya semangat. Ia begitu indah terutama ketika mendengar tepukan gemuruh penonton yang menyaksikan gesekan biola dan mendengar alunan muzik orkestra.

“Ramai concert master menjadi konduktor tetapi saya lebih suka bermain biola kerana tidak pernah jemu dengan alat muzik itu,” ujarnya yang meminati David Oistrakh dan Boris Goldshtein.

Memetik kata-kata Victor Hugo, ‘music expresses that which cannot be said and on which it is impossible to be silent’, Mayya berpesan kepada golongan muda yang mahu menceburi industri muzik agar tidak mudah putus asa dan berlatih dengan menjadikan sesi latihan sesuatu yang menyeronokkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 2:28 PM