LAGI LAGI GILA GILA dirasmikan oleh Pengarah Galeri PETRONAS Rosli Abdul Rahim (kiri) bersama kartunis terkenal negara, Datuk Lat.
JAAFAR Taib menerusi Jungle Jokes.
KARYA kartunis Ujang menerusi Aku Budak Minang.
KISAH kesukaan penulis menerusi Tiga Dara Pingitan oleh Cabai.
PROFESOR Serba Tahu antara ikon Gila-Gila.
MUKA depan edisi pertama Gila-Gila.
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Menyaksikan deretan karya yang mencuit hati, penonton pastinya mengingati kembali kegemilangan majalah kartun tersohor yang mempunyai pengikut tersendiri.

Pertama kali diterbitkan pada 1 April 1978, Gila-Gila yang menempa nama Majalah Humor Nasional dianggap sebagai hasil kerja asli berkenaan sejarah intelektualiti kartunis negara yang menyajikan ilmu pengetahuan berhubung sejarah pembangunan masyarakat Malaysia.

Pameran LAGI LAGI GILA GILA mempamerkan 200 hasil kerja seni asal, termasuk naskhah terawal majalah Gila-Gila, petikan kata-kata, kartun editorial, strip kartun, penulisan intelektual dan standee watak kartun yang semuanya memberi kefahaman mendalam mengenai gaya pemikiran kreatif pengkarya kartun.

Segmen popular ditonjolkan dalam pameran ini antaranya Jungle Jokes dan Kalau oleh Jaafar Taib, Perwira Mat Gila oleh Rejabhad, From Taiping With Love oleh Rasyid Asmawi, Lagak A Mahmud oleh Fatah Ngah serta Falsampah Gila-Gila.

Sepanjang 20 tahun lalu, Gila-Gila berjaya mengekalkan reputasi sebagai bahan bacaan yang mempunyai bilangan pembaca paling ramai di Malaysia.

Ia turut berinteraksi bersama pembacanya menerusi pelbagai isu budaya, sosial, ekonomi dan politik dalam cara yang paling berjenaka, mudah diterima dan menyeronokkan. Sehingga kini, Gila-Gila diterbitkan sebanyak 770 keluaran.

Pameran ini berlangsung di Galeri PETRONAS sehingga 15 Julai ini dari jam 10 pagi hingga 8 malam. Kunjungan orang ramai dialu-alukan dan masuk adalah percuma.

INFO

LAGI LAGI GILA GILA

- Artis: Kartunis tanah air

- Jumlah karya: 200

- Lokasi: Galeri PETRONAS, Level 3, Suria KLCC, Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur

- Tarikh: Sehingga 15 Julai 2015

- Masa: 10 pagi hingga 8 malam

- Telefon: 03-2051 7770

- Web: galeripetronas.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 2:21 PM