KUALA LUMPUR: Enam suspek bersenjatakan parang yang dipercayai bersembunyi di hutan Taman Rekreasi Lembah Kiara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini semalam, dipercayai tidak lagi berada di kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, ini berikutan pihaknya menemui laluan hutan menuju ke jalan raya kira-kira 400 meter dari tempat mereka terserempak dengan polis.

"Polis percaya mereka telah keluar daripada kawasan itu ketika usaha memburu mereka petang semalam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ketika ini taman rekreasi berkenaan masih dibuka kepada orang awam untuk meneruskan aktiviti riadah seperti biasa.

Semalam, polis gagal menjejaki suspek yang melarikan diri ke Taman Rekreasi Lembah Kiara di Taman Tun Dr Ismail sejak 5 pagi.

Keenam-enam suspek yang merupakan geng pecah rumah dan aktif di sekitar TTDI, Sri Hartamas menggunakan modus operandi yang sama iaitu memecah masuk rumah dan melarikan barang berharga. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 11:59 PM