KERETA mangsa dalam kedudukan terbalik selepas menjunam di ketinggian 40 meter. FOTO Ramli Ibrahim
Oleh Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


Gua Musang: Seorang lelaki berusia 32 tahun terseliuh bahu kiri, manakala rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan selepas kereta mereka naiki menjunam ke Sungai Nenggiri dekat Kampung Pulai Setelu, di sini.

Kejadian berlaku kira-kira 11.30 malam tadi ketika mangsa dan rakannya berusia 46 tahun dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Terengganu.

Difahamkan, mangsa tidak mengetahui Kilometer 28 Jalan Gua Musang-Jeli ditutup sementara berikutan jambatan kampung berkenaan runtuh akibat banjir Disember lalu.

Bagaimanapun, terdapat lencongan untuk kenderaan melalui jambatan sementara di situ yang siap dibina dan beroperasi dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kereta mangsa menjunam pada ketinggian 40 meter dan kedua-dua mangsa diselamatkan orang awam.

"Pemandu mengalami kecederaan ringan pada bahu, manakala penumpang berusia 46 tahun tidak cedera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 4:07 PM